PELAKON Uyaina Arshad percaya seseorang wanita yang baru bergelar ibu amat memerlukan perhatian dan sokongan yang kukuh daripada insan sekeliling.
Uyaina atau nama lengkapnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 34, berpendapat, golongan ibu yang baharu bersalin sewajarnya dibantu terutamanya dari segi pengurusan anak-anak serta hal rumah tangga sepanjang tempoh berpantang.
“Saya melintasi fasa berpantang ini sebanyak tiga kali. Bagaimana kita dilayan sewaktu mengandung, semasa melahirkan, dan selepas bersalin, semua perkara ini akan kita ingat sampai bila-bila.
Antara sebab terbesar saya berjaya mengharungi fasa pasca melahirkan adalah kerana saya mempunyai sistem sokongan yang sangat kuat
“Insan-insan yang membantu menjaga anak-anak, sentiasa bertanya khabar, memberi ruang untuk saya berehat, mengambil alih tugas sewaktu saya terlalu penat dan mengingatkan saya bahawa saya tidak perlu melakukan segala-galanya seorang diri.
“Ini memerlukan sokongan seluruh orang. Bukan sahaja untuk membesarkan seorang anak, tetapi juga menjaga si ibu yang sedang membesarkan anak,” katanya dalam Threads.
Tambah pelakon drama Love Elsa itu bantuan yang dihulurkan kepada wanita berpantang tidak semestinya sesuatu yang rumit, sebaliknya cukuplah sekadar meringankan beban harian mereka.
“Kadang-kadang, bantuan yang paling besar itu bukannya sesuatu yang rumit.
Pegang bayi sekejap supaya si ibu boleh mandi, jaga anak-anak yang lain supaya si ibu boleh berehat, masakkan makanan dan bantu uruskan hal rumah.
“Perkara-perkara ringkas, tetapi membawa makna yang sangat besar,” jelasnya.
Dalam pada itu, Uyaina menyeru masyarakat agar lebih peka dan prihatin terhadap kesihatan mental serta fizikal golongan wanita yang baru sahaja melalu proses kelahiran.
“Fasa lepas bersalin ini mengajar saya bahawa dikelilingi orang yang menyayangi, memahami dan sentiasa ada untuk kita mampu mengubah segala-galanya.
“Jadi, kalau ada wanita dalam hidup anda yang baru sahaja melahirkan, tolong tanyakan khabar dirinya juga.
Semua orang akan bertanyakan tentang bayi. Jadilah orang yang bertanyakan tentang keadaan si ibu.
Sebelum ini, kecoh mengenai pelakon Imran Aqil yang meninggalkan isterinya, Dahlia Rizal ketika dalam pantang kerana berada di Nepal bagi menyertai aktiviti pendakian gunung selama 10 hari.
Dia juga berkongsi isterinya berdepan masalah meroyan selepas melahirkan anak sulung mereka sehingga pernah terlintas untuk mencampakkan bayinya. – HIBGLAM
