BELUM dikurniakan cahaya mata selepas hampir lima tahun mendirikan rumah tangga, penyanyi Haqiem Rusli enggan terlalu memikirkan soal berkenaan selain menyerahkan sepenuhnya urusan tersebut kepada ketentuan Ilahi.
Ujar Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, 28, berkata, dia dan isteri, Anis Sofea sudah bersedia serta berusaha untuk menimang cahaya mata, namun percaya setiap perkara mempunyai waktu terbaik ditetapkan Tuhan.
“Bercakap soal cahaya mata, semua orang memang mahukan anak. Bagi saya, kami sudah bersedia dan sudah berusaha. Namun, saya percaya pada takdir Allah.
Kesimpulannya mudah, andai kata Allah sudah tetapkan 10 tahun lagi baru kami dapat anak, saya terima.
“Saya ikut sahaja perancangan Allah. Mana-mana ketentuan terbaik, saya terima,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya mengenai kemungkinan keluarga memberi tekanan atau mendesak mereka supaya segera mendapatkan cahaya mata, pelantun lagu Mimpi itu berkata, perkara tersebut tidak pernah menjadi isu besar kerana ahli keluarganya memahami keadaan mereka.
“Ahli keluarga semuanya menghormati dan memahami kerana soal ini memang kerja Tuhan. Mereka tahu kami sudah berusaha dan tidak pernah memaksa.
Cuma apabila saya membuat persembahan atau berjumpa orang ramai, memang akan ada pihak bertanya. Itu lumrah kerana sejak dahulu orang memang suka bertanya soal anak.
“Isteri pun tidak marah. Dia sudah kalis kecaman. Kami faham orang bertanya sebab mereka mengambil berat, jadi kami tidak ambil hati,” ujarnya.
Mengulas sama ada mendapatkan rawatan atau pemeriksaan doktor bagi mendapatkan cahaya mata, Haqiem menjelaskan mereka masih mencuba secara semula jadi tanpa menjalani sebarang rawatan khusus.
Tidak ada. Ini perkara normal sahaja. Kami masih mencuba secara normal dan belum sampai ke tahap mendapatkan rawatan.
“Apapun, doakan perkara baik untuk kami. Saya percaya setiap doa itu ada nilainya dan insya-Allah sampai masa nanti, Allah akan berikan rezeki,” jelasnya.
Untuk rekod, Haqiem dan Anis Sofea atau nama sebenarnya Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, 24, sah bergelar suami isteri pada 19 November 2021. – HIBGLAM
