SELEPAS bertahun-tahun tidak kembali ke Malaysia, band tribute kumpulan legenda, ABBA iaitu Björn Again bakal menggegarkan pentas Zepp, KL menerusi Björn Again – The ABBA Forever Tour 2026 pada 12 Ogos depan.
Kehadiran semula kumpulan yang mendapat pengiktirafan rasmi daripada anggota asal ABBA itu disifatkan sebagai detik penantian yang amat berharga, terutamanya buat pencinta muzik pop retro era 1970-an.
Mewakili kumpulan berkenaan, Benny Anderwear meluahkan rasa teruja apabila dapat kembali menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur selepas tempoh yang cukup lama.
“Kami tidak sabar untuk kembali ke Kuala Lumpur. Sudah terlalu lama kami tidak ke sana.
Kami sebenarnya pernah melakukan persembahan di Kuala Lumpur sebelum ini tetapi sudah sangat lama dahulu.
“Saya rasa mungkin sekitar 12 atau 15 tahun lalu. Jadi, kumpulan ini sentiasa mahu kembali ke sana kerana kami mempunyai kenangan manis tentang cinta dan kemesraan daripada penonton semasa membuat persembahan kali terakhir,” katanya dalam sebuah sidang media virtual bersama HibGlam.

Björn Again menjanjikan kejutan istimewa buat peminat di Malaysia.
Berkongsi mengenai kenangan lama, Benny mengakui kehangatan cuaca serta keunikan hidangan tempatan antara perkara yang paling dirindui di Malaysia.
“Saya pernah ke Malaysia sekitar tahun 2012 atau 2013 dan saya masih ingat betapa panasnya cuaca di sana ketika berjalan-jalan di jalanan dan membeli-belah.
Makanan Malaysia sangat sedap, jadi kami sangat teruja untuk itu,” kongsinya.
Menyentuh mengenai senarai lagi yang bakal dipersembahkan pada Ogos kelak, dia memberi jaminan bahawa peminat bakal disajikan dengan seleksi karya-karya ikonik yang pernah memuncaki carta muzik dunia.
“Senarainya agak panjang jadi kalau nak perincikan semua di sini mungkin akan mengambil masa yang lama tetapi yang pasti kami akan memainkan semua lagu hit ABBA.
Kami wajib memainkan lagu seperti Dancing Queen, Fernando, Mamma Mia, Waterloo dan Take A Chance. Itu baru lima buah karya yang terlintas dalam fikiran saya.
“Kami juga cuba merangkumi beberapa bahan yang mungkin tidak begitu dikenali,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi anggota kumpulan iaitu Agnetha Falstart turut meluahkan rasa tidak sabar untuk berdepan secara fizikal dengan sorakan serta keceriaan peminat di Malaysia.
“Secara peribadi saya tidak sabar untuk bertemu dengan orang ramai. Saya suka Malaysia, mereka sangat ceria.
Melihat wajah-wajah penonton apabila kami menyanyi. Itu yang saya nantikan, bertemu orang ramai.
“Melihat orang Malaysia, saya rasa itu yang paling istimewa bagi saya,” katanya.
Bukan sekadar persembahan muzik semata-mata, Agnetha turut memberi bayangan bahawa persembahan di Zepp KL kelak bakal disuntik dengan pelbagai elemen kejutan serta interaksi humor yang bakal menghiburkan penonton sepanjang dua jam durasi konsert.
Sudah tentu ada kejutan, mungkin seseorang akan rap secara tiba-tiba dan ada sesi menari.
“Saya tidak boleh dedahkan terlalu banyak maklumat tetapi memang ada banyak kejutan berbeza.
“Satu perkara yang boleh dikongsikan, penonton akan banyak ketawa semasa persembahan kami. Ada elemen jenaka,” tutupnya. – HIBGLAM
