‘Rezeki terbesar bukan kemewahan’ – Nurel Baharin kahwin minggu depan

DIDAKWA terburu-buru ingin mendirikan rumah tangga pada usia muda demi mengejar kehidupan mewah bersama lelaki berada, pelakon Nurel Baharin menepis tanggapan tersebut selain menegaskan keputusan berkahwin dibuat atas dasar mencari keberkatan, bukannya kemewahan.

Malah, Nurel atau nama sebenarnya Nurelyana Baharin, 23, berkata, perkahwinan bukan penamat kepada kerjaya seni, sebaliknya membuka lembaran baharu dalam kehidupan tanpa menjejaskan minatnya terhadap dunia lakonan.

“Tidaklah begitu. Berkahwin bukan bermaksud saya mahu berehat atau berhenti bekerja. Saya tetap mahu meneruskan kerjaya.

“Saya cuma tidak gemar bercinta terlalu lama tetapi akhirnya tidak berkahwin. Jika kedua-dua pihak sudah serius dan bersedia, apa salahnya menyegerakan perkara baik,” katanya kepada HibGlam.

Mengulas spekulasi bakal mengadakan majlis perkahwinan serba mewah kerana bakal suami datang daripada keluarga bukan calang-calang, juara Dewi Remaja 2023 itu menegaskan semuanya berlangsung secara sederhana mengikut kemampuan.

“Majlis kami biasa-biasa sahaja, asalkan sah dan halal. Tiada istilah ‘wedding of the year’ seperti diperkatakan ramai.

“Rezeki terbesar saya tahun ini bukan kemewahan, sebaliknya bakal memiliki sebuah keluarga baharu termasuk ibu mentua dan keluarga mentua yang sangat baik.

“Pada mulanya umi (ibu) mahu saya berkahwin sekitar usia 30 tahun. Namun selepas melihat kesungguhan lelaki saya kenal sekarang, dia berjaya meyakinkan keluarga bahawa dia mampu menjaga saya. Sebab itu mereka memberikan restu,” ujarnya pada sidang media drama Ate Kome, I Love You di sini, semalam.

Tambah pelakon filem Kacau itu, kesungguhan bakal suami memenangi hati keluarga menjadi antara faktor utama dia yakin menerima lamaran tersebut.

“Usahanya tidak pernah terhenti. Hari kedua kami berkenalan, dia sudah datang bertemu umi. Beberapa hari kemudian pula dia berjumpa adik-beradik saya.

“Dia sentiasa merancang setiap langkah, termasuk bila mahu datang bertemu keluarga dan menghantar rombongan merisik. Semua dilakukan dengan penuh tanggungjawab sehingga keluarga saya sendiri nampak kesungguhannya.

“Saya berasal dari Sarawak, manakala dia dari Semenanjung. Hubungan jarak jauh bukan sesuatu yang mudah, tetapi segala usaha itu membuktikan dia benar-benar serius,” luahnya.

Untuk rekod, Nurel mengikat tali pertunangan dengan seorang ahli perniagaan pada 15 November tahun lalu dalam sebuah majlis tertutup di kampung halamannya di Kuching, Sarawak, namun berita tersebut hanya dikongsikan kepada umum pada awal Julai lalu.

Pelakon itu dijangka mendirikan rumah tangga pada minggu depan, namun memilih untuk merahsiakan tarikh sebenar majlis pernikahannya.

Dalam perkembangan lain, Nurel bakal muncul menerusi komedi romantik 12 episod Viu Original, Ate Kome, I Love You! arahan Helmi Yusof bergandingan bersama Aniq Suhair dan Bella Dowanna. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok