PELAKON Abby Abadi sekali lagi naik hantu apabila seorang individu yang didakwa rakan baik kepada Memey Suhaiza mencampuri kemelut keluarga melibatkan dirinya sehingga mengundang pelbagai tanggapan dalam media sosial.
Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 48, menyifatkan individu terbabit tidak mengetahui perkara sebenar, namun tetap memberi pandangan dan mempertahankan pihak lain sehingga menyinggung perasaannya.
“Kawan baik Memey sibuk update itu dan ini, akhirnya mengumpat juga di belakang. Baguslah tulis begini, senang saya jawab.
“Isunya sekarang, saya menuntut nafkah makan, minum dan tempat tinggal anak-anak yang tertunggak. Saya cuma mahukan keadilan kerana anak-anak sudah besar dan keperluan mereka semakin banyak.
“Kalau saya tidak bersuara, memang berkira sungguh dengan anak-anak. Cerita tentang bersalin dan beranak saya bangkitkan kerana mahu orang tahu dia memang berlaku zalim sejak dahulu lagi,” katanya dalam Instagram Story.
Dalam hantaran sama, pelakon drama Gerak Khas itu turut mempersoalkan mengapa hanya kisah kebaikan Memey diketengahkan sedangkan pelbagai perkara lain didakwa sengaja disembunyikan.
“Banyak lagi cerita belum habis. Awak cakap Memey baik, selalu belanja makan, pernah datang buat siaran langsung di pejabat, bawa anak-anak menginap di hotel. Itu sahaja?
“Kenapa tidak cerita pasal anak saya terpaksa letak beg di luar rumah? Kenapa tidak cerita pasal beg anak dipunggah dan kemudian diburukkan kepada orang lain? Itu semua tak mahu kongsi?,” soalnya.
Lebih membuatkan Abby terkilan apabila namanya dikaitkan dengan dakwaan mahu menyertai umrah menggunakan tiket kelas perniagaan, sedangkan perkara itu disifatkan sebagai fitnah.
“Saya tertarik bila kata saya hendak ikut umrah naik kelas perniagaan. Bila masa? Saya tak pernah minta. Siapa yang bercerita tu kalau bukan Memey kan.
“Awak ingat saya terhegeh-hegeh macam awak? Saya tak hadap pun semua itu. Tolong semak semula WhatsApp, dari mana datang cerita umrah dan kelas perniagaan tersebut.
“Mulut siapa yang bawak cerita ni?. Kalau berani, datang cakap depan-depan. Awak siapa sebenarnya dan apa tujuan awak campur urusan saya?,” jelasnya.
Menerusi hantaran berasingan, ibu enam anak itu sekali lagi meluahkan rasa kesal terhadap individu terbabit yang disifatkan terlalu ghairah mempertahankan rakannya tanpa mengetahui keseluruhan cerita.
“Kawan terpaling nak membela. Seronoklah sebab selalu dibelanja. Dulu bukan macam itu pun. Belakang-belakang tetap mengumpat juga, jangan ingat tak ada orang sampaikan.
“Kalau dia layan baik anak Norman sekali pun, apa masalah awak? Bukan anak saya seorang sahaja.
“Kalau tak tahu cerita sebenar, lebih baik diam. Datang depan mata kalau berani,” tegasnya.
Terdahulu, media sosial kecoh selepas seorang individu dipercayai rakan kepada Memey memuat naik kenyataan mendakwa Abby mahu dilayan istimewa termasuk kononnya ingin menginap di hotel mewah, menyertai umrah dengan tiket kelas perniagaan serta sering mempersoalkan layanan diterima daripada orang sekeliling. – HIBGLAM.
