Hero Jurassic Park, Sam Neill sudah tiada

DUNIA perfileman antarabangsa kehilangan seorang lagi figura ikonik apabila pelakon legenda asal New Zealand, Sam Neill menghembuskan nafas terakhir pada usia 78 tahun di Sydney, Australia, hari ini.

Berita pemergian pelakon yang dikenali menerusi filem Jurassic Park dan siri Peaky Blinders itu disahkan keluarganya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di Instagram.

“Dengan penuh dukacita, keluarga besar Sam Neill mengumumkan pemergiannya.

Kehilangannya berlaku secara mengejut, namun kami bersyukur kerana Sam berada dalam keadaan bebas kanser sehingga ke akhir hayatnya,” menurut kenyataan tersebut.

Neill sebelum ini berjuang melawan sejenis kanser darah yang jarang berlaku dan agresif, namun pada April lalu mendiang memaklumkan penyakit itu berada dalam keadaan terkawal.

Menurut keluarga, Neill menghembuskan nafas terakhir dengan tenang di sisi insan tersayang, selain merakamkan penghargaan kepada petugas Hospital Swasta St. Vincent atas layanan dan penjagaan yang diberikan sepanjang menerima rawatan.

Maklumat lanjut akan dikongsikan kemudian. Buat masa ini, kami memohon agar privasi keluarga dihormati ketika melalui saat yang amat sukar ini,” kata kenyataan itu lagi.

Sepanjang lebih lima dekad bergelar anak seni, Neill membintangi puluhan filem dan siri televisyen merentasi pelbagai genre.

Selain filem pemenang Anugerah Akademi, The Piano, mendiang paling diingati menerusi watak ahli paleontologi, Dr. Alan Grant dalam filem blockbuster arahan Steven Spielberg, Jurassic Park.

Bercakap kepada CNN sempena ulang tahun ke-30 filem itu pada 2023, Neill mengakui tidak pernah menyangka akan mencipta kerjaya yang begitu gemilang dalam industri lakonan.

Saya tidak pernah menjangkakan akan mempunyai kerjaya dalam dunia filem, apatah lagi sebagai pelakon. Tetapi semuanya berlaku begitu sahaja, dan mungkin tiada siapa yang lebih terkejut daripada saya sendiri,” katanya.

Sementara itu, pelakon New Zealand, Karl Urban menyifatkan Neill sebagai sumber inspirasi kepada ramai pelakon generasi baharu.

Beliau seorang insan yang luar biasa, khazanah negara yang telah memberikan begitu banyak sumbangan kepada New Zealand dan dunia,” katanya.

Dilahirkan di Ireland Utara, Neill berhijrah ke Pulau Selatan New Zealand ketika berusia tujuh tahun.

Sepanjang kariernya, mendiang menerima pelbagai pengiktirafan termasuk darjah Officer of the Order of the British Empire (OBE) pada 1991 sebelum dianugerahkan gelaran kesatria oleh kerajaan New Zealand pada 2022. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok