5 bintang Korea menyala jadi jahat

LAKONAN hebat bintang Korea Selatan sering kali mencuri perhatian penonton seantero dunia.

Ada yang terkenal menerusi watak lelaki budiman atau karakter asyik patah hati dan tidak kurang juga dicop hanya sesuai jadi penjahat.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan bintang popular menyahut cabaran dengan menerokai watak baharu yang tidak pernah dibawa.

Percubaan berani tersebut bukan sahaja mengejutkan penonton, malah membuatkan peminat bangga melihat kehebatan idola kegemaran mereka menjiwai watak gelap dengan begitu berkesan.

Mari kita lihat lima pelakon kesayangan ramai yang berjaya mencuri tumpuan menerusi watak antagonis.

Taechyeon

AHLI kumpulan 2PM, Taecyeon berjaya membuatkan penonton terpukau menerusi wataknya sebagai Jang Joon-woo dalam drama fenomena Vincenzo.

Pada awalnya, pemilik nama lengkap Ok Taec-yeon itu diperkenalkan sebagai seorang pelatih undang-undang yang lurus, gopoh dan sering membantu ketuanya.

Siapa sangka, perwatakan comel dan naif Joon-woo itu hanyalah sekadar topeng untuk menyembunyikan sisi sebenar dirinya yang merupakan dalang korporat kejam, psikopat, dan tidak berhati perut.

Kejutan luar biasa daripada penyanyi berusia 37 tahun itu menjadi salah satu daya tarikan utama dan titik penting yang menaikkan lagi rating drama Vincenzo.

Lee Dong-wook

BAGI peminat drama adaptasi webtoon Strangers From Hell, watak yang dibawa Lee Dong-wook pastinya sukar untuk dilupakan.
Dalam siri tersebut, Dong-wook melakonkan watak Seo Moon-jo, seorang doktor gigi yang kelihatan sangat sopan, normal, tenang dan suka membantu.
Bagaimanapun, di sebalik senyuman manisnya itu tersimpan satu rahsia yang jauh lebih mengerikan.
Moon-jo sebenarnya seorang psikopat licik yang mendekati mangsanya secara perlahan-lahan dan penuh berbahaya.
Pelakon filem Harbin itu dipuji kerana berjaya menampilkan sisi penjahat yang memikat, penuh helah dan dalam masa yang sama amat mengerikan.

Lee Joon-gi

DALAM naskhah Flower of Evil, Lee Joon-gi memegang watak sebagai Do Hyun-soo, seorang suami sempurna di mata isterinya, Cha Ji-won lakonan Moon Chae-won, serta seorang bapa yang sangat menyayangi anak perempuan tunggal mereka.

Namun, di sebalik kebahagiaan itu, Hyun-soo sebenarnya menyembunyikan identiti masa lalunya yang gelap daripada pengetahuan isteri dan anaknya.

Jejaka berusia 44 tahun itu memberikan persembahan antara paling memukau sepanjang karier lakonannya menerusi watak yang penuh konflik emosi, apatah lagi drama Flower of Evil sarat dengan ‘plot twist’ yang sukar dijangka penonton.

 

PEMILIHAN watak Kim Yoo-jung dalam drama Dear X benar-benar menarik perhatian peminat setia drama Korea.

Manakan tidak, sebelum ini dia sering kali diberikan watak gadis yang ceria, mesra, baik hati dan comel.

Namun, menerusi drama Dear X, wanita berusia 27 tahun itu mencabar diri memegang watak sebagai Baek Ah-jin, seorang wanita yang menempuh fasa kehidupan gelap serta berdepan trauma masa kecil yang teruk.

Dia sukses mempamerkan sisi kejam Ah-jin, terutamanya ketika memanipulasi emosi orang sekelilingnya sehingga membuatkan penonton tertanya-tanya sama ada masih wujudkah sedikit kebaikan dalam hati karakter tersebut.

Park Bo-gum

MENERUSI drama Hello Monster, Park Bo-gum memegang watak sebagai Lee Min yang tenang, misteri serta mempunyai pandangan hidup jauh berbeza daripada manusia normal lain.

Lee Min mempunyai ikatan persaudaraan yang erat dengan Lee Hyun (Seo In-guk) sejak kecil, namun trauma bertahun-tahun telah mengubah personalitinya menjadi individu menakutkan.

Selepas menghilangkan diri, dia muncul semula dengan identiti baharu.

Watak Lee Min merupakan antara lakonan awal yang membuktikan bahawa pelakon berusia 33 tahun itu mampu memberikan warna berbeza dalam kariernya menerusi pembawaan yang penuh misteri, lembut tapi penuh ancaman. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok