MENGHIMPUNKAN ilmuwan, ulama dan pencinta hadis dari dalam serta luar negara, Majlis Sama’ Hadis Sunan At-Tirmidzi Peringkat Antarabangsa 2026 bakal berlangsung selama 11 hari bermula 13 hingga 23 November ini di Masjid Putra, Putrajaya.
Penganjuran majlis berkenaan bukan sahaja menjadi wadah pertemuan ilmiah, malah mencerminkan usaha berterusan dalam memperkukuh tradisi keilmuan Islam, khususnya menerusi pengajian hadis Rasulullah SAW.
Program itu turut membuka peluang kepada masyarakat untuk mendalami serta menghayati khazanah ilmu hadis menerusi pengajian kitab Sunan At-Tirmidzi, antara karya penting dalam disiplin ilmu berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, penganjuran majlis seumpama itu mencerminkan komitmen berterusan dalam menyemarakkan budaya ilmu serta menghidupkan tradisi pengajian hadis dalam kalangan masyarakat Islam.
Menurutnya, majlis berkenaan bukan sekadar perhimpunan ilmiah, sebaliknya menjadi platform untuk mendekatkan masyarakat dengan warisan ilmu Rasulullah SAW, selain memperkukuh kefahaman terhadap hadis menerusi bimbingan ilmuwan dan pakar dalam bidang berkenaan.
Majlis Sama’ Hadis ini bukan sekadar perhimpunan ilmiah, sebaliknya menjadi platform untuk menghubungkan masyarakat dengan warisan ilmu Rasulullah SAW, di samping memperkukuh kefahaman terhadap hadis melalui bimbingan para ilmuwan dan ahli dalam bidang berkenaan,” katanya.
Tambah beliau, penyertaan ilmuwan dan pencinta hadis dari pelbagai negara turut membuka ruang kepada pertukaran pandangan, perkongsian kepakaran serta pengukuhan ukhuwah Islamiah merentasi sempadan.
Katanya, usaha sedemikian penting bagi memastikan tradisi pengajian ilmu Islam terus dipelihara, diwarisi dan dikembangkan kepada generasi akan datang.
Sehubungan itu, masyarakat Islam khususnya golongan pencinta ilmu dan hadis diseru mengambil peluang menghadiri majlis berkenaan yang berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya sehingga 23 November ini.
Penganjuran Majlis Sama’ Hadis Sunan At-Tirmidzi Peringkat Antarabangsa 2026 diharap dapat menyemarakkan kecintaan umat Islam terhadap sunnah Rasulullah SAW, sekali gus menjadikan penghayatan ilmu sebagai sebahagian daripada amalan kehidupan seharian. – HIBGLAM

