‘Harap tidak lagi kerap bawa watak romantik’

INDUSTRI seni tanah air terus dibanjiri dengan pelbagai naskhah berkualiti tinggi yang menuntut kredibiliti serta penguasaan karakter mendalam daripada barisan pelakon berpengalaman.

Antara yang paling mencuri tumpuan ketika ini adalah siri thriller psikologi terbaharu, Bayangan Dendam yang menampilkan pelakon Yusuf Bahrin sebagai watak Inspektor Daniel.

Menurut Yusuf, karakter Inspektor Daniel memerlukan gaya komunikasi yang pelbagai dan disesuaikan mengikut suspek berbeza bagi memancing motif serta kebenaran.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Cabaran saya membawakan watak Inspektor Daniel dalam cerita Bayangan Dendam ini adalah apabila melakukan siasatan, kita perlu membezakan cara siasatan.

“Harus ada kelainan. Cara saya menyiasat Ariana (Erysha Emyra) berbeza dengan cara saya menyiasat Bujang (Lan Siro) dan Farhan (Nadhir Nasar), semuanya mesti berlainan.

Perbezaan itu terletak pada cara kita mendekati mereka, berbicara dan memperdaya psikologi mereka,” katanya kepada HibGlam.

Tambahnya, kejayaan sesi siasat tidak bergantung kepada kekerasan, sebaliknya terletak pada kebijaksanaan membaca gerak-geri serta mengawal emosi suspek agar tidak mencetuskan ketakutan melampau yang boleh merosakkan siasatan.

“Jadi, saya cuba mengaplikasikan apa yang saya rujuk daripada karya-karya luar, bagaimana cara mereka berkomunikasi dengan wanita semasa siasatan dijalankan.

Mereka tidak menggunakan kekerasan kerana tujuannya bukan untuk menakut-nakutkan. Matlamatnya adalah untuk bermain dengan psikologi.

“Kita tidak boleh membuatkan seseorang itu takut secara melampau, kerana jika dia takut, dia tidak akan mampu menjawab soalan dengan baik. Jadi, kita mahu mengetahui motif dan memperdaya mereka.

Apabila kita mengendalikan siasatan dan soal jawab di dalam bilik khas itu, saya perlu memastikan ada kelainan yang ditampilkan,” jelasnya.

Menerusi proses mendalami watak, jejaka berusia 34 tahun itu berkongsi rasa kagum terhadap kepakaran anggota polis sebenar yang didedahkan dengan kursus psikologi khusus bagi membolehkan mereka membaca bahasa badan serta tona suara penjenayah.

Perkara itu membuatkan saya sedar bahawa dalam dunia siasatan pasukan beruniform, pihak polis amat mahir, terutamanya dalam aspek psikologi.

“Pegawai berjawatan tinggi yang ditugaskan mengendalikan kes-kes spesifik seperti kes pembunuhan dan jenayah berat, saya kira mereka adalah individu yang sangat pakar.

Cara mereka memandang tepat ke dalam mata juga berbeza, cara mereka melontarkan suara, memperdaya suspek, serta mendesak individu tersebut menjawab soalan.

“Pelbagai teknik dan kaedah yang mereka gunakan apabila suspek enggan mengaku,” katanya lagi.

Beralih kepada karier lakonan, anak jati Selangor itu mengakui lebih cenderung memilih genre thriller berbanding drama percintaan bagi menguji mutu lakonannya.

Saya berharap tidak lagi terlalu kerap membawakan drama percintaan.

“Saya lebih berminat dengan naskhah bergenre begini kerana lebih berkesan untuk menonjolkan kemahiran lakonan.

“Pertama sekali adalah atas faktor jiwa dan kedua kerana kita ingin meneroka pelbagai watak.

Genre percintaan sudah terlalu kerap saya lakonkan, sama ada komedi romantik mahupun drama cinta biasa.

“Jadi, saya mahu mencuba sesuatu yang berbeza,” tutupnya.  Harap tidak lagi kerap

Selain Yusuf, Bayangan Dendam turut dibintangi Nadhir Nasar, Sophia Albarakbah, Erysha Emyra dan Mia Nasir.

Drama bersiri 12 episod itu mengisahkan persahabatan, pengkhianatan dan satu kematian mengejut membabitkan Ariana lakonan Sophia Albarakbah dan Farhan (Nadhir Nasar) ditayangkan menerusi platform Viu pada Khamis dan Jumaat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok