DUNIA hiburan Korea Selatan sering kali menjadi pentas tumpuan yang menghimpunkan deretan bakat luar biasa daripada pelbagai latar belakang.
Namun, apa yang lebih menarik perhatian umum adalah kehadiran beberapa pasang selebriti adik-beradik yang bukan sahaja sama-sama sukses, malah turut memukau peminat menerusi aura tersendiri serta pencapaian gemilang dalam bidang yang diceburi masing-masing.
Meskipun ada kalanya mereka bergerak dalam kelompok industri yang berbeza sama ada sebagai bintang idola K-Pop mahupun menghiasi layar perak sebagai pelakon, kehebatan, kredibiliti serta pesona darah daging yang dikongsi ini tetap konsisten menjadi bualan hangat dan inspirasi kepada peminat di seluruh dunia.
Kali ini, HibGlam menyenaraikan beberapa selebriti yang sebenarnya mempunyai talian persaudaraan.
Daeyeol, Sungyeol

DUNIA K-Pop pernah dilanda keterujaan apabila didedahkan bahawa Daeyeol daripada kumpulan Golden Child rupa-rupanya merupakan adik kandung kepada Sungyeol daripada kumpulan INFINITE.
Lebih menarik, kedua-dua mereka memulakan kerjaya sebagai idola bawah syarikat pengurusan yang sama.
Sungyeol membuat kemunculan sulung lebih awal pada 2010 bersama INFINITE, manakala Daeyeol menyusul pada 2017 menerusi Golden Child.
Selain sering menunjukkan sokongan padu terhadap kerjaya masing-masing, pasangan abang adik ini sering menjadi bualan kerana seiras wajah mereka yang hampir serupa bagai pinang di belah dua.
Jang Won-young, Jang Da-ah

SIAPA yang tidak mengenali sosok Jang Won-young? Persona ahli kumpulan wanita IVE itu sememangnya sudah meraih populariti luar biasa usai mengikuti program survival Produce 48.
Rupa-rupanya, jejak langkah kejayaan Won-young turut diikuti kakaknya, Jang Da-ah yang memilih haluan sebagai idola K-pop, Da-ah memilih memulakan langkah sebagai seorang pelakon menerusi drama thriller popular, Pyramid Game.
Meskipun adik sudah lama menempa nama di puncak kegemilangan, Da-ah berjaya membuktikan bakatnya sendiri sehingga diiktiraf ramai.
Momen manis mereka pernah tular apabila Da-ah menerima trofi Rookie of the Year pada Asia Artist Awards yang turut disaksikan Won-young dalam satu situasi menyentuh hati.
Jihyo, Lee Ha-eum

KETUA kumpulan TWICE, Jihyo sebelum ini pernah mengejutkan peminat apabila memperkenalkan adik perempuannya, Lee ha-eum kepada umum menerusi kemunculan dalam rancangan realiti popular, Home Alone.
Tidak sekadar menyokong, Jihyo pernah membuktikan kasih sayang seorang kakak apabila menghantar sebuah trak kopi (coffee truck) ke lokasi penggambaran drama bersiri lakonan adiknya berjudul Request to Resign.
Meskipun menggunakan nama pentas yang berbeza, rupa paras seiras mereka begitu mudah dikesan peminat, terutamanya tanda lahir istimewa (tahi lalat) di bahagian hidung yang diwarisi kedua-dua beradik itu.
Doyoung, Gong-myung

HUBUNGAN akrab antara penyanyi NCT, Doyoung dan abangnya yang juga merupakan seorang pelakon, Gong-myung sememangnya sudah bukan rahsia umum dalam kalangan peminat.
Kedua-dua selebriti lelaki itu juga sering memuat naik momen kebersamaan mereka sama ada ketika mengisi program televisyen mahupun dalam media sosial.
Nama mereka pernah tular apabila Gong-myung meluahkan rasa terharu selepas menerima hadiah hari lahir sebuah kereta mewah daripada adiknya itu.
Apa yang membuatkan netizen terhibur adalah reaksi Gong-myung yang sempat membongkok 90 darjah ke arah kamera semata-mata untuk mengucapkan terima kasih kepada adiknya yang ketika itu sedang menjalankan khidmat tentera.
Jessica Jung, Krystal Jung

PASANGAN ikonik Jessica Jung dan Krystal Jung tidak perlu diperkenalkan lagi.
Hubungan akrab antara Jessica dan adiknya, Krystal sudah lama menjadi lambang keserasian keluarga selebriti paling berpengaruh di Korea Selatan.
Jessica mencipta fenomena terlebih dahulu apabila dikenali sebagai anggota kumpulan wanita, Girls’ Generation (SNSD).
Manakala Krystal pula mengikut jejak langkah menyertai industri muzik sebagai anggota kumpulan f(x).

