Mengejutkan! 5 bintang Korea dengan ‘selera’ ganjil

DI Dunia hiburan Korea Selatan sememangnya tidak pernah gagal mencuri perhatian dunia, sama ada menerusi irama K-pop yang rancak, naskhah drama bersiri yang menyentuh emosi mahupun pesona visual selebriti yang sering menjadi bualan.

Namun, di sebalik imej sempurna yang ditampilkan, ada antara bintang popular ini sebenarnya memiliki cita rasa makanan yang cukup luar biasa. Daripada kombinasi bahan makanan yang kedengaran janggal, eksperimen resipi unik di dapur hinggalah cara menikmati hidangan di luar kebiasaan, setiap satunya memperlihatkan sisi berbeza kehidupan selebriti yang jarang diketahui peminat.

Menariknya, gabungan makanan yang dianggap pelik itu bukan sekadar mencerminkan selera peribadi, malah ada antaranya mengundang rasa ingin tahu sehingga membuatkan peminat teruja untuk mencubanya sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Berikut lima selebriti popular Korea Selatan yang mempunyai tabiat pemakanan unik serta gemar menikmati kombinasi hidangan di luar kebiasaan.

  • Park Seo-joon

AKTOR Park Seo-joon rupa-rupanya mempunyai selera makanan yang agak unik dan di luar kebiasaan.

Aktor berusia 39 tahun itu mengakui gemar mencuba kombinasi makanan yang mungkin dianggap pelik sesetengah orang, termasuk mencelup kentang goreng panas ke dalam aiskrim. 

Meskipun teknik menggabungkan elemen masin dan manis sudah mula diterima di peringkat global, tabiat pelakon filem Parasite itu menjadi bualan hangat peminat yang ingin mencubanya. 

  • V BTS

ANGGOTA kumpulan BTS, V atau nama sebenarnya Kim Tae-hyung bukan sahaja mencuri perhatian menerusi keunikan ton suaranya dan penampilan menawan, malah turut memiliki cita rasa tersendiri dalam menikmati hidangan.

   Keunikan itu terserlah menerusi kombinasi makanan kegemarannya iaitu roti yang diisi dengan mi segera (ramyeon).

   Menurut V, kelembutan tekstur roti yang digandingkan dengan mi kenyal serta kuah ramyeon yang kaya rasa menghasilkan kombinasi cukup menyelerakan, sekali gus memberikan kepuasan tersendiri setiap kali menikmatinya.

  • IU

SIAPA sangka pelakon dan penyanyi popular IU, turut mempunyai kreativiti tersendiri apabila berada di dapur.

  IU atau nama sebenarnya Lee Ji-eun, rupa-rupanya gemar menyediakan mi segera dengan cara berbeza apabila menggunakan susu sebagai pengganti air.

Walaupun kedengaran agak janggal bagi sesetengah orang, teknik berkenaan sebenarnya bukan sesuatu yang asing dalam dunia kulinari. Penggunaan susu mampu menghasilkan kuah mi yang lebih pekat, berkrim dan berlemak.

  • Hwasa MAMAMOO

PENYANYI kumpulan MAMAMOO, Hwasa sememangnya diangkat sebagai ikon pencinta makanan (foodie) tegar. 

Perkara tersebut terbukti apabila setiap aksinya menjamu selera di kaca televisyen sering menjadi tular.

Cara makan pemilik nama sebenar Ahn Hye-jin itu yang gemar menyatukan pelbagai jenis hidangan dalam satu suapan besar seperti usus panggang (gopchang) dimakan bersama nasi, kimchi dan mi secara serentak menyerlahkan selera luar biasanya sekali gus buat ramai penonton terliur.

  • Jungkook BTS

Jungkook BTS turut tersenarai apabila pernah merakamkan aksi selamba mencelup pisang ke dalam sos cili pedas atau pes gochujang.

Sebenarnya, rasa manis dan pedas sangat lazim dalam masakan Korea. 

Namun, tindakan menggabungkan pisang dengan sos cili pedas agak janggal. 

Bagaimanapun, eksperimen berani tersebut mencetuskan keterujaan dalam kalangan peminat setianya apabila ramai mencuba kombinasi aneh itu serta menyukai rasanya.



Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok