PEMPENGARUH media sosial, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr. Fie tampil memohon maaf susulan tindakannya memberi respons spontan didakwa mentertawakan komen netizen mengenai bekas pekerja yang meninggal dunia dalam tempoh menanti pembayaran gaji daripada majikan iaitu suaminya, Kapten Amrul Nizar Anuar beberapa tahun lalu.
Mengakui dirinya tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, Dr. Fie, 36, berkata, dia juga mempunyai kekurangan sebagai manusia dan terlepas pandang hal-hal sensitif.
“Maaf sekiranya saya terlepas pandang dengan tingkah laku saya. Saya bukan manusia sempurna dan ada kekurangan, kesilapan serta sisi kehidupan yang mungkin orang tak pernah tahu.
“Di sebalik nama yang sedang dibicarakan, ada manusia yang mempunyai hati, keluarga dan maruah untuk dijaga.
“Tak pernah tergamak saya nak gelakkan isu sensitif dan hanya terkejut dengan jawapan spontan Kapten Amru. Siapalah yang dengki sangat ini, kasihan pada isteri Allahyarham Kapten Zainol,” katanya dalam satu hantaran Threads.
Dia juga memilih untuk tidak membalas kata-kata negatif yang diterima sebaliknya berharap agar semua pihak lebih berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang pandangan dalam media sosial.
“Saya memilih untuk tidak membalas kebencian dengan kebencian.
“Semoga Allah SWT memelihara hati kita daripada terlalu mudah menghukum dan berharap kita tidak menjadi sebab seseorang terluka dengan kata-kata sendiri,” katanya lagi.
Terdahulu, beberapa rakaman siaran langsung Dr. Fie dengan suaminya mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen apabila dikatakan mengeluarkan respons sinis terhadap komen pengguna media sosial lain.
Komen tersebut mendakwa terdapat individu yang meninggal dunia dalam tempoh menunggu bayaran gaji daripada Kapten Amrul sekali gus mengundang perhatian ramai apabila reaksi spontan kurang sensitif terhadap isu kematian individu tersebut.
Difahamkan, komen tersebut merujuk kepada pemergian Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, bekas pekerja Kapten Amrul yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Miri, Sarawak pada 8 September lalu.
Dr. Fie juga turut menzahirkan permohonan maaf terhadap balu kepada Kapten Zainol dikenali sebagai Izzati Syamimi dan mahu meleraikan lsaha faham selain dalam masa bersimpati dengan nasib yang menimpa Allahyarham. – HIBGLAM

