‘Nampak Lisa dalam MV Zahid, tertanya-tanya siapa dia’

SIAPA sangka hanya melihat kelibat seorang gadis melintas jalan dalam sebuah video muzik sudah cukup meninggalkan kesan buat pengarah dan penyanyi, Datuk Yusry Abdul Halim.

Menceritakan detik perkenalan dengan isteri, Datin Lisa Surihani, katanya kali pertama melihat wajah teman hidupnya itu adalah menerusi video muzik penyanyi Zahid ketika era Akademi Fantasia (AF) musim kedua.

“Saya jenis yang jarang tengok televisyen. Masa itu saya tengok video muzik Zahid kemudian perasan ada seorang gadis melintas jalan dan tertanya-tanya siapa dia.

“Itulah kali pertama saya nampak Lisa,” katanya menerusi video yang dikongsikan di platform TikTok program bual bicara Borak Seeni.

Menurut Yusry, hubungan mereka tidak terus berkembang menjadi pasangan kekasih, sebaliknya bermula sebagai kenalan dalam industri hiburan.

“Kami berkenalan dalam kadar yang perlahan dan bersesuaian. Makin mengenali antara satu sama lain, makin nampak keserasian itu.

Kami tak terus ‘dating’ pun, cuma berhubung melalui telefon dan bertanya khabar sebagai rakan industri. Lama-lama dah kenal, baru kami jumpa,” ujarnya.

Sementara itu, Lisa pula meluahkan rasa syukur kerana perjalanan cinta mereka dipermudahkan sehingga akhirnya disatukan sebagai suami isteri.

Alhamdulillah, Allah susun segala-galanya dengan baik dan kami dijodohkan bersama,” katanya.

Pada wawancara tersebut, aktres terbabit juga tampak malu-malu apabila ditanya momen manis yang mempertemukan mereka.

Terdahulu, pasangan romantis itu kerap menjadi perhatian ramai yang rata-rata menjadikan suami isteri terbabit sebagai contoh dalam melayari rumah tangga.

Lisa dan Yusry mendirikan rumah tangga pada 23 Februari 2012.

Hasil perkongsian hidup selama lebih sedekad mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Yahaira Leanne, Yusof Leonne dan Yunos Laith. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok