‘Mungkin doa Alif Satar asbab saya bergelar hajah’

PELAKON popular Datin Lisa Surihani mendedahkan rakan selebriti, Alif Satar sering memanggilnya dengan gelaran hajah setiap kali bertemu meski dia belum menunaikan ibadah haji ketika itu.

Menurut Lisa atau nama lengkapnya Lisa Surihani Mohamed, 40, dia juga tidak faham kenapa sahabatnya itu sering memanggilnya dengan gelaran hajah.

Sabahat saya Alif Satar yang saya anggap seperti adik sendiri. Dia terlebih dahulu mengerjakan ibadah haji sebelum saya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami pernah direzekikan untuk bekerjasama dan kerap berjumpa. Setiap kali dia jumpa saya dia akan panggil saya hajah.

Mungkin dia lakukan perkara tersebut sebagai amalan. Setiap dia cakap macam itu, saya akan aminkan dan ucap terima kasih.

“Orang kata, setiap kata-kata yang diucapkan adalah doa. Mungkin doa dia antara asbab saya dijemput menunaikan ibadah haji tahun ini,” katanya.

Lisa ditemui di majlis ‘Kerana Dia Memanggil’ Perkongsian Perjalanan Haji Alumni Irkaz Travel bersama Lisa Surihani & Tomok yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Tambah pelakon filem Istanbul Aku Datang itu lagi, jika benar doa Alif adalah asbab dia dijemput ke tanah suci, dia berdoa agar Allah sentiasa merahmati sahabatnya itu.

Jika benar Alif ialah asbab dan doanya adalah doa yang diangkat, saya doa agar Allah swt sentiasa merahmatinya dan menghimpunkannya bersama keluarganya di syurga,” ujarnya.

Dalam majlis yang dihadiri kira-kira 200 bakal jemaah haji itu, Lisa turut berkongsi pengalamannya ketika mengerjakan ibadah berkenaan tahun ini.

Biarpun terpaksa pergi seorang diri tanpa suami, namun dia tetap bersyukur kerana doanya untuk menunaikan ibadah haji ketika berusia 40 tahun dimakbulkan.

Pada Ramadan tahun 2023, saya menunaikan ibadah umrah bersama Irkaz Travel. Ketika itu saya berdoa agar diberi peluang menunaikan haji pada usia 40 tahun kerana mengambil inspirasi daripada usia Rasulullah SAW ketika menerima wahyu pertama,” kongsinya.

Siapa sangka tiga tahun kemudian, doa tersebut menjadi kenyataan apabila rayuan hajinya diterima dan berpeluang menunaikan ibadah haji bersama Irkaz Travel. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok