POPULARITI sukan pickleball yang semakin berkembang dalam kalangan masyarakat kini diangkat menerusi telefilem istimewa yang kini ditayangkan di platform penstriman UTV berjudul Dink! I Love You.
Naskhah arahan Boy Koci terbitan Motio Studio itu menggabungkan elemen romantik, persahabatan dan kesukanan, selain menampilkan gandingan pelakon Anna Jobling, Arfie Shah dan Aedy Ashraf sebagai teraju utama.
Bagi Arfie, penglibatannya dalam telefilem tersebut cukup istimewa apabila sukan yang diminatinya itu secara tidak langsung membuka peluang untuk dia membawakan watak pemain pickleball di skrin.
Sejujurnya saya memang tak pernah sangka sukan yang saya paling minat, iaitu pickleball, akhirnya membuka pintu kepada saya untuk melakonkan watak sebagai atlet pickleball.
“Pada mulanya saya hanya bermain untuk berseronok dan mengisi masa lapang, tetapi takdir membawa saya ke set penggambaran. Bila dikenang semula, semuanya berlaku dengan begitu pantas dan saya sangat bersyukur dengan peluang ini,” katanya.
Lebih mengujakan, Arfie turut berpeluang berkongsi set bersama Anna Jobling dan Aedy Ashraf yang disifatkan banyak membantu sepanjang proses penggambaran.
“Bekerjasama dengan Anna Jobling dan Aedy Ashraf adalah satu pengalaman yang sangat berharga. Anna seorang yang sangat profesional dan mudah bekerjasama, manakala Aedy pula banyak berkongsi pengalaman serta memberi keyakinan kepada saya untuk memberikan yang terbaik dalam setiap babak,” ujarnya.
Dalam telefilem tersebut, Arfie membawakan watak Ghazali, seorang pelajar pintar yang langsung tidak mempunyai latar belakang dalam dunia sukan sebelum dipilih menjadi pasangan baharu Diba lakonan Anna Jobling.
Menurut Arfie, cabaran terbesar adalah menampilkan proses perubahan watak itu daripada seorang yang kekok kepada individu yang yakin dengan kebolehannya sendiri.
Dia seorang pelajar yang pintar, tetapi langsung tidak mempunyai pengalaman dalam sukan. Cabaran terbesar adalah untuk menunjukkan proses perubahan seorang individu yang pada awalnya serba kekok sehingga akhirnya berani mencabar dirinya sendiri.
“Apa yang saya suka mengenai Ghazali adalah perjalanan persahabatannya dengan Diba. Watak Diba bukan sekadar rakan sepasukan, tetapi individu yang sentiasa memberi sokongan dan kepercayaan kepadanya.
“Bagi saya, Ghazali membawa mesej yang sangat dekat dengan kehidupan. Dia membuktikan seseorang tidak perlu mempunyai bakat sejak awal untuk berjaya. Dengan disiplin, usaha yang konsisten dan sokongan daripada orang di sekeliling, kita mampu berkembang menjadi versi diri yang lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Anna mengakui dia tidak mempunyai pengalaman bermain pickleball sebelum menerima tawaran menjayakan telefilem tersebut.
Bagaimanapun, pelakon berusia 26 tahun itu sanggup menjalani latihan dan mempelajari asas permainan bagi memastikan wataknya sebagai Diba dapat dibawakan dengan meyakinkan.

Presiden UTV, Adzliana Hasan (tengah) bersama dua pelakon utama Dink! I Love You iaitu Anna Jobling dan Arfie Shah.
Demi menjayakan watak dan memberikan persembahan yang meyakinkan, saya meluangkan masa untuk mempelajari asas permainan serta menjalani latihan sebelum penggambaran bermula.
“Saya melihat peluang ini sebagai satu pengalaman yang sangat menyeronokkan kerana bukan saja dapat mencuba sesuatu yang baharu, malah memahami semangat kesukanan yang menjadi tunjang cerita ini.
“Walaupun pada awalnya agak mencabar, saya semakin seronok apabila mula memahami teknik dan rentak permainan pickleball. Saya berharap penonton dapat merasai kesungguhan kami dalam membawakan kisah ini dengan sebaik mungkin,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden UTV, Datuk Adzliana Hasan berkata, pemilihan pickleball sebagai latar utama telefilem tersebut dibuat berikutan perkembangan pesat sukan berkenaan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Katanya, pihak UTV sentiasa berusaha menghasilkan kandungan yang dekat dengan perkembangan semasa selain memperkenalkan sesuatu yang baharu kepada penonton.
Kalau sebelum ini saya pernah menghasilkan drama berunsurkan komedi romantik, percintaan, seram dan thriller, kali ini kami mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza. Pickleball sedang menjadi fenomena dan dimainkan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Saya fikir inilah masa yang sesuai untuk mengangkat sukan ini dalam sebuah telefilem.
“Kalau badminton atau bola sepak sudah banyak dipaparkan dalam drama, mengapa tidak kita cuba sesuatu yang baharu? Harapan saya, telefilem ini bukan sahaja menghiburkan, malah dapat memperkenalkan lagi sukan pickleball kepada masyarakat,” katanya.
Dink! I Love You mengisahkan Diba, seorang pemain pickleball berbakat yang meninggalkan pasangan regunya, Arman, sebelum memilih Ghazali sebagai rakan sepasukan baharu.
Perjalanan mereka di gelanggang akhirnya membuka ruang kepada sebuah kisah cinta yang berkembang seiring dengan usaha memburu kejayaan dalam sukan tersebut.
Selain mengetengahkan unsur romantik, telefilem ini turut membawa mesej mengenai persahabatan, kepercayaan, disiplin dan semangat berpasukan yang menjadi asas penting dalam dunia sukan.
Telefilem Dink! I Love You yang sudah ditayangkan sejak 18 Jun lalu boleh distrim secara eksklusif menerusi aplikasi UTV. – HIBGLAM
