PENYANYI Mila Jirin mendedahkan anak tunggalnya, Mohd. Arif Zikri, 9, sanggup bersengkang mata menunggu kepulangannya selepas selesai komitmen di Gegar Vaganza Fantasia (GV13).
Mila atau nama penuhnya Norsyarmilla Jirin, 38, menyifatkan pengalaman anaknya merakam persembahannya dari rumah sebagai momen menggembirakan dalam hidupnya.
“Masya-Allah saya sangat teruja, waktu balik rumah pada Ahad lepas pukul 2.30 pagi, anak saya belum tidur lagi.
“Nasib baiklah keesokan harinya cuti umum, dia tak tidur lagi semata-mata nak tunjukkan saya dia rekod saya menyanyi walaupun rakaman itu sekejap kiri, sekejap kanan.
“Itu satu benda yang pada saya sangat menggembirakan,” katanya kepada HibGlam.
Dalam masa sama, pelantun lagu Persis Mutiara itu memaklumkan anaknya turut memberi kritikan membina berserta demonstrasi gaya persembahan ibunya di atas pentas.
“Selepas itu, dia siap bagi komen ‘Kenapa buat kepala begitu (ke kiri dan kanan) awak perlu buat macam ini (ke hadapan dan belakang). Saya raikanlah,” jelasnya.
Ditanya punya perancangan membawa puteranya melihat persembahannya secara langsung, Mila tidak terfikir berbuat demikian memandangakan anaknya lebih selesa meluangkan masa di rumah.
“Tak, anak saya tak berapa suka keluar rumah. Dia suka lepak di ruang dia.
“Saya rasa mungkin anak-anak sekarang macam itu. Dia suka PS5 dia jadi saya pun tak berapa beranilah bawa dia.
“Anak seorang kan, nanti dia buat perangai dia — masalah dekat mak dia,” katanya lagi.
Mila merupakan antara peserta GV13 yang berentap bersama lapan bintang lain seperti Mawi, Faizal, Faizul, Stacy dan Shahir.
Selain itu, bintang lain yang turut berentap ialah Firman, Zahid dan Vince.
Minggu seterusnya menyaksikan empat lagi peserta bakal memenuhi kerusi panas yang dibuka menerusi GV undi masuk. – HIBGLAM

