1
“KALAU Saddiq tak datang, mungkin saya dah mati.”
Demikian pendedahan abang kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq iaitu Syed Abdullah atau lebih dikenali sebagai Space Dollah mengenai pengalaman ngerinya yang hampir mati lemas di Bali, Indonesia beberapa hari lalu.
Menurut Abdullah atau Syed Abdullah Syed Abdul Rahman, 37, kejadian tersebut berlaku ketika dia, Saddiq dan adiknya Hadi berlibur di sebuah resort mewah di pulau peranginan terkemuka itu.
“Tiga hari lepas saya hampir mati lemas. Saya ni untuk pengetahuan kalian, sangat pandai berenang. Tetapi tanpa saya sedar, rupanya saya salah.
Pada permulaan saya agak yakin untuk berenang ke tengah laut. Ombak ketika itu nampak macam okey sahaja. Saya sangat bodoh kerana berenang ke tengah laut. Tanpa saya sedar ombak sudah tarik saya betul-betul ke tengah.
“Bila semakin dekat ke tengah, semakin kuat ombak hentam saya. Ketika itu barulah saya sedar saya sudah pergi terlalu jauh. Saya cuba berenang ke pantai tetapi ombak jadi semakin kuat.
“Ketika itulah saya mula jadi panik sebab saya dah tak dapat rasa tanah di kaki walaupun saya seorang yang sangat tinggi,” ceritanya dalam sebuah video dikongsikan dalam media sosial.
Bercerita lebih lanjut tentang detik cemas itu, kata Dollah, dia cuba menjerit meminta tolong namun tiada siapa yang mendengar jeritannya.
“Saya dah terminum banyak air laut. Kemudian saya jerit minta tolong. Tiga kali saya jerit. Saya nampak adik-adik saya ketika itu tetapi mereka tidak mendengar jeritan saya.
Saya fikir saya akan mati dan mula mengucap dua kalimah syahadah. Tiba-tiba Saddiq datang dan dia cuba tolak saya daripada belakang sampailah ke pantai.
“Selepas itu saya menangis kerana saya fikir itu adalah pengakhiran hidup saya. Nasib baik ada Saddiq yang pernah sertai Iron Man. Entah daripada mana dia datang selamatkan saya,” kongsinya.
Tambahnya lagi, dia sedikit kesal kerana tiada pengawal keselamatan pantai berada di tempat kejadian ketika situasi mendebarkan itu berlaku.
“Saddiq beritahu dia minta Hadi pergi dapatkan bantuan pengawal keselamatan, tetapi tiada siapa di situ. Tempat itu sangat mewah, ramai pelancong tetapi tiada pengawal keselamatan,” ujarnya. – HIBGLAM
