NAMA pelakon Zara Zya kembali menjadi perhatian kebelakangan ini selepas pendedahannya mengenai sisi gelap dunia hiburan tular dan mencetuskan pelbagai reaksi.
Ada yang terkejut, ada yang memuji keberaniannya, malah tidak kurang juga yang mengakui pernah melalui pengalaman hampir serupa seperti yang dikongsikan.
Namun, bagi Zara atau nama sebenarnya, Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, apa yang diperkatakan bukanlah bertujuan membuka pekung sesiapa atau mencipta kontroversi.
Sebaliknya, dia hanya menjawab soalan yang diajukan kepadanya ketika muncul dalam sebuah podcast.
Sebenarnya orang tanya, jadi saya jawab sajalah,” katanya sambil ketawa.
Tidak menyangka perkongsiannya menjadi perbualan ramai, pelakon berusia 40 tahun itu mengakui pada awalnya dia juga tertanya-tanya sama ada tindakannya berkongsi pengalaman tersebut akan mengundang rasa kurang senang pihak tertentu.
“Mula-mula saya terfikir juga ada orang marah atau tidak bila saya kongsi perkara itu.
Tapi selepas itu ramai pula yang tampil berkongsi pengalaman mereka sendiri. Ada yang setuju dan ada juga yang pernah melalui perkara hampir sama,” katanya kepada HibGlam.
Bagi Zara, jika perkongsiannya mampu membuka mata orang ramai tentang realiti sebenar dunia hiburan, itu sudah memadai.
Bagus juga sebab dapat buka mata orang lain. Kadang-kadang ada perkara yang orang simpan lama sebab takut atau malu untuk bercerita.
“Bila ada yang mula bercakap, mungkin orang lain pun akan rasa lebih berani untuk bersuara,” ujarnya.
Bukan sekadar glamor
Sudah lebih sedekad bergelar anak seni, Zara mengakui dunia hiburan banyak mengajar dirinya tentang kehidupan.

MULANYA agak bimbang, Zara lega apabila perkongsiannya menerima reaksi positif rakan selebriti dan peminat.
Meskipun sering dilihat sebagai industri yang penuh glamor dan kemewahan, hakikatnya terdapat pelbagai cabaran yang perlu ditempuhi oleh setiap individu yang memilih kerjaya tersebut.
Pelakon yang mula popular dengan drama drama Love You Mr. Arrogant itu bagaimanapun percaya industri hiburan tempatan kini semakin berkembang ke arah yang lebih baik.
Pada saya industri kita semakin baik sebab semakin ramai bakat baharu hadir dan drama pun makin berkualiti.
“Apa pun semuanya perlukan sokongan daripada peminat juga,” katanya.
Ditanya mengenai pengalaman yang paling membuka matanya tentang realiti sebenar dunia hiburan, Zara memberikan jawapan yang mungkin tidak dijangka ramai.
Bukan soal persaingan, bukan juga kontroversi. Sebaliknya, waktu menjadi perkara yang paling banyak dikorbankan sepanjang bergelar pelakon.
“Kalau nak cerita pengalaman memang terlalu banyak. Tapi yang paling utama ialah masa.
“Masa tak pernah cukup untuk orang lain mahupun diri sendiri,” katanya.
Seperti kebanyakan selebriti lain, Zara juga pernah melalui fasa dipandang rendah ketika namanya belum dikenali.
Namun apabila ditanya apakah yang ingin diperkatakan jika bertemu semula individu yang pernah memperlekehkannya suatu ketika dahulu, jawapan yang diberikan cukup ringkas.
Saya tak akan cakap apa-apa. Hanya kami saja yang tahu. Itu pun kalau dia masih ingatlah,” katanya berseloroh.
Sempat juga Zara sempat berkongsi nasihat buat gadis muda yang bercita-cita menjadi pelakon. Bintang kecil molek itu menegaskan, ilmu dan bakat perlu bergerak seiring.
Selain itu, mereka juga perlu bijak membuat keputusan supaya tidak tersalah langkah kerana industri hiburan tidak semudah yang disangka.
Cukupkan ilmu, mesti ada bakat dan jangan salah langkah,” katanya.
Impian
Nampak sihat, namun setelah disahkan menghidap kanser buah pinggang tahap satu itu mengakui perspektifnya terhadap kehidupan juga banyak berubah.

PADA usia 40 tahun, Zara hanya bersyukur dan berserah sepenuhnya kepada aturan Tuhan jika masih diberikan kesempatan bertemu jodoh di dunia ini.
Menurut Zara, pengalaman berdepan masalah kesihatan membuatkan dirinya lebih menghargai perkara-perkara kecil yang sebelum ini sering diabaikan.
Kesihatan dan masa rehat adalah perkara yang paling saya hargai sekarang. Jika dahulu kerja siang malam pagi petang okey, sekarang saya pastikan ada masa rehat,” katanya.
Menyentuh soal pasangan hidup, Zara yang sebelum ini pernah berkongsi mengenai ciri-ciri lelaki idamannya mengakui keutamaannya kini jauh berbeza berbanding ketika muda.
Baginya, memilih pasangan bukan sekadar soal rupa atau status, sebaliknya tentang keserasian untuk berkongsi hidup bersama.
Pasangan harus dipilih sebab kita nak hidup bersama.Kalau tak suka, macam mana nak kahwin?” katanya tertawa.
Ditanya sama ada perkahwinan masih menjadi impian hidupnya, Zara menyerahkan perkara tersebut kepada aturan Tuhan.
Untuk ketika ini, jodoh adalah rezeki yang Allah beri jika saya berpeluang merasainya di dunia,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zara kini tampil dengan karakter berbeza menerusi drama Luka Di Hujung Setia yang kini sedang hangat ditayangkan dalam slot Akasia menerusi TV3.
Membawakan watak Dhia, Zara mengakui karakter tersebut memberikan cabaran baharu dalam karier lakonannya.
Watak jahat memang pernah saya bawa sebelum ini. Tapi watak penyodol macam Dhia ini pertama kali.
“Teruja sebab ini sesuatu yang baharu untuk saya cuba,” ujarnya.
Menurut Zara, cabaran terbesar adalah memastikan watak tersebut konsisten sepanjang jalan cerita.
Cabaran dia pening sikit sebab kena jadi talam dua muka. Dengan watak Irsyad lain, dengan Faris lain.
“Saya kena jaga graf lakonan supaya penonton percaya dengan karakter tersebut,” katanya.
Pada awalnya dia mengakui bimbang dengan penerimaan penonton kerana selama ini lebih sinonim dengan watak protagonis.
Namun, kebimbangan itu akhirnya terlerai apabila menerima pelbagai komen positif daripada peminat.
“Awal dulu saya risau juga nak tahu maklum balas penonton. Alhamdulillah ramai yang komen berdasarkan cerita dan watak sahaja.
Mereka tidak sentuh soal peribadi. Saya terima dengan hati terbuka apa juga pandangan penonton terhadap watak Dhia,” katanya.
Selain Zara, drama terbitan Country Universal Sdn. Bhd. tersebut turut menampilkan barisan pelakon seperti Datuk Adi Putra, Irfan Zaini, Cahaya Nilam dan Dhia Adreyana. – HIBGLAM
