PELAKON Datin Intan Najuwa terpaksa dikejarkan ke hospital dan menjalani prosedur pemindahan darah dengan segera selepas pengsan pagi tadi.
Menurut Intan atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 29, insiden tersebut berpunca daripada masalah tekanan darahnya yang tiba-tiba turun mendadak.
Hampir luruh jantung semua orang pagi tadi. Saya pengsan sebab tekanan darah turun sangat rendah dan doktor terpaksa buat pemindahan darah dengan segera.
“Alhamdulillah, semuanya dah okey sekarang dan kedua-dua bayi serta ibu berada dalam keadaan baik,” katanya dalam hantaran InstaStory.
Pada masa sama, pelakon drama Kekasih Paksa Rela itu menegaskan bahawa amalan gemar minum kopi bukanlah punca utama yang menyebabkan dirinya pengsan.
“Sebelum doktor-doktor Instagram mula buka sesi ceramah mereka. Ya, saya tahu mesti ada yang dah mula menaip ‘mesti sebab kopi’.
Doktor saya dah sahkan yang perkara ini tiada kaitan langsung dengan kafein.
“Ini berpunca daripada peningkatan isi padu darah, faktor nutrisi dan keperluan badan yang lebih tinggi semasa mengandung,” jelasnya.

TANGKAP layar penjelasan Intan Najuwa punca sebenar dia pitam bagi mengelakkan timbul dakwaan tidak berasas daripada netizen.
Selain itu, Intan sempat berseloroh dia sengaja memberikan penjelasan awal kerana enggan ruangan mesejnya dihujani teguran tidak berasas.
“Saja saya letak penjelasan siap-siap dekat sini supaya tak ada salah faham nanti.
Saya kena beritahu siap-siap sebab nanti ada orang serang dalam DM (mesej langsung) tak tahu pucuk pangkal (cakap) ‘ha sebab minum kopi’,” ujarnya.
Sebelum ini, Intan memaklumkan khabar gembira hamil anak kedua selepas dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Imane Lunara pada 15 Disember 2024.
Intan mendirikan rumah tangga dengan usahawan Ahmad Azraf pada Ogos 2023. – HIBGLAM
