‘Ramai cakap Azeva Kak Lina Pom Pom 2.0, itu satu pujian’

SELAKU hos berpengalaman, personaliti televisyen popular Elly Mazlein teruja melihat ramai bakat baharu terutamanya, Azeva yang mula mengorak langkah dalam bidang pengacaraan. 

Pada masa sama, Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, menitipkan pesanan mendalam buat hos muda agar sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan sebelum mengendalikan sesebuah program.

Saya gembira melihat adik-adik yang dah mula berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan. Dengan adanya Azeva dan Cik B, saya rasa inilah satu langkah yang baik untuk industri tanah air kita tapi dengan satu syarat semua pendatang baharu kena ada pengetahuan juga. 

“Tanggungjawab seorang pengacara bukan mudah. Memang boleh gila-gila macam saya tapi dalam masa sama kita kena tahu format program. 

“Kita kena tahu tugasan kita sebagai pengacara supaya info yang kita dapat disampaikan dengan baik. Dalam masa sama kita selitkan dengan perangai kita yang kelakar,” katanya kepada HibGlam pada majlis Raikan Cinta bersama Jakel Square, di Ever Glory Kuala Lumpur, hari ini. 

Menyentuh mengenai kritikan awal yang diterima segelintir bakat baharu, Elly atau mesra di sapa Kak Lina Pom Pom itu berharap orang ramai tidak terlalu cepat menghakimi, memandangkan mereka masih berada di fasa awal pembelajaran.

“Jangan jadi ‘joy killer’. Bila dah ada orang baharu, kita kena percayakan dia sebab dia baru minggu pertama (mengacara). 

Ramai yang sebut Azeva jelmaan Kak Lina Pom Pom 2.0. Tidak mengapa, yang mana awak rasa benda itu boleh menggembirakan orang, tak apa nak tiru. 

“Rezeki masing-masing, saya nampak Azeva selesa di atas pentas. Kalau dia ambil cara saya itu satu pujian bagi saya, ada orang jadikan saya contoh,” jelasnya. 

Menyambut baik kewujudan pengacara baharu, Elly  berharap industri hiburan terus melahirkan lebih ramai pelapis bagi mengisi kekosongan slot pengacaraan majlis dan program besar di Malaysia.

Saya ‘love’ (suka) Azeva walaupun dia kali pertama tapi kita nampak yang dia betul-betul seronok dan tahu apa kena buat begitu juga dengan Cik B. 

“Saya harap ada ramai lagi adik-adik baru kita cungkilkan diri supaya dapat menjadi pengacara sebab Malaysia memang kekurangan pengacara. 

“Kalau boleh saya nak ramai lagi sebab memang di Malaysia kita ketandusan pengacara yang boleh mengendalikan sesebuah majlis atau program,” luahnya. 

Sebelum ini, Azeva diumumkan sebagai hos program Big Stage X Rocketfuel bergandingan dengan Nabil Ahmad. 

Terdahulu, anak penerbit Datuk A. Aida itu menduduki tempat keempat dalam program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok