‘Awak Ketua Setiausaha Kementerian Almari Orang Lain?’

PELAWAK Harith Iskandar menegur segelintir individu yang sewenang-wenangnya mengecam pemakaian beberapa selebriti wanita termasuk Bella Astillah baru-baru ini.

Menurut Harith, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku bahkan mengakui berasa aneh dengan tindakan sebilangan pihak yang kerap mempersoalkan isu pakaian selebriti wanita tanah air dalam media sosial.

Saya memang terpesona dengan satu perkara. Kenapa ada orang yang begitu banyak masa untuk risau tentang cara orang lain berpakaian.

“Hari ini, saya nampak lagi komen-komen tentang baju Bella Astillah yang mengata bajunya ketat, tak sesuai dan macam-macam.

“Tapi bukan Bella seorang saja yang kena. Ramai selebriti wanita lain pun selalu jadi sasaran sehingga saya tertanya-tanya, kenapa ini jadi masalah kalian?” katanya dalam platform Threads.

Dakwa Harith, kebencian dan kecaman yang dilemparkan terhadap Bella ketika ini lebih kepada bersifat peribadi, bukannya mengganggu ketenteraman awam.

“Kalau seseorang mencuri, menipu, membuli, menyerang atau menyakiti orang lain, masyarakat memang patut bersuara sebab tindakan itu memberi kesan kepada orang lain.

“Tapi kalau seseorang pakai pakaian yang awak secara peribadi tak suka, siapa sebenarnya yang tercedera?

Siapa yang lantik awak jadi Ketua Setiausaha Kementerian Almari Orang Lain? Mudah saja,” ujarnya.

Jelasnya lagi, permasalahan tersebut perlu direnung kembali oleh setiap individu yang melemparkan kebencian terhadap orang lain.

Kata Harith masalah tersebut mungkin bukan disebabkan isu pakaian mencolok mata atau sebagainya sebaliknya berpunca daripada hati individu yang mengecam.

“Kalau cara seseorang berpakaian menyebabkan awak lebih tertekan daripada isu rasuah, keselamatan jalan raya, kos sara hidup atau daripada usaha untuk fokus kepada kebahagiaan hidup awak sendiri.

Mungkin masalahnya bukan pada pakaian itu tetapi pada kita.

“Ini pandangan saya mengenai mereka yang menyerang atau menyakiti orang lain,” katanya lagi.

Perkongsian Harith tersebut menerima pelbagai respons termasuk menuduhnya menyebelahi Bella dan sukar menerima kritikan orang ramai.

Terdahulu, penampilan Bella ketika muncul sebagai juri konsert suku akhir Talk To My Manager 2 baru-baru ini mengundang kecaman ramai yang mendakwa dres kuning dipakainya mencolok mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok