‘Ada pendapatan, berdikari, wanita lebih dihormati’

PELAKON Datin Intan Najuwa menasihatkan golongan wanita terutama generasi muda agar menimba ilmu dan tidak berhenti berusaha untuk memiliki kehidupan yang menyenangkan pada masa hadapan.

Menurut Intan atau nama penuhnya Intan Najuwa Abdul Wahid, 28, perkara tersebut adalah penting kerana usaha yang baik akan menghasilkan sebuah hasil positif dalam kehidupan kelak.

“Tolong keluar dan cari haluan sendiri. Belajar betul-betul, cari pengalaman, dapatkan kerja yang baik dan mula menabung duit sendiri sejak muda.

Percayalah, bila ada pendapatan sendiri dan mampu berdikari, rasa itu akan berbeza.

“Kalian akan lebih yakin dan orang sekeliling mula hormat diri anda seadanya,” katanya dalam InstaStory.

Intan berkata demikian bagi menjawab soalan diberikan pengikut Instagramnya yang meminta dia memberi nasihat kepada wanita muda.

Katanya, tidak salah untuk mencari ruang berseronok pada usia muda tetapi semua itu haruslah dilakukan secara berpada-pada.

“Nak berseronok, melancong dan bergembira dengan kawan-kawan, silakan.

Namun, pastikan semuanya seimbang, jangan lupa jaga diri, maruah dan sentiasa sedar nilai sendiri,” ujarnya.

Tambahnya yang juga seorang usahawan, usia muda tidak seharusnya disia-siakan dan sebaik-baiknya diisi dengan pelbagai usaha yang boleh membanggakan diri sendiri.

Bekerja keraslah ketika usia masih muda. Berusaha sekarang supaya dapat berterima kasih pada diri sendiri satu hari nanti.

“Insya-Allah, jika kita sentiasa melakukan kebaikan dan berada di jalan yang tepat, semuanya (kebaikan) akan kembali kepada kalian.

“Tiada yang mampu dapat melawan perasaan bangga mampu berdiri atas kaki sendiri,” jelasnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok