CINTA dikatakan semakin meranum, aktor sensasi Brad Pitt dilaporkan belum mempunyai perancangan untuk mendirikan rumah tangga dengan kekasihnya, Ines de Ramon.
Didakwa intim sejak empat tahun lalu, bintang filem berusia 62 tahun itu dipercayai masih dibayangi pengalaman pahit ketika melalui proses perceraian yang panjang dengan bekas isterinya juga aktres sensasi, Angelina Jolie.
Perkahwinan tidak ada dalam kamus hidupnya. Walaupun Brad dan Ines sangat bahagia bersama, Brad menikmati ketenangan serta sokongan kekasihnya itu.
“Kebanyakan rakan terdekat mereka mempunyai firasat Brad tidak akan berkahwin lagi atau menambah zuriat,” kata sumber.
Tambah sumber berkenaan, pelakon filem F1 itu juga amat menghargai kehadiran pereka barang kemas terbabit dalam hidupnya, namun tidak melihat keperluan membawa hubungan mereka ke fasa perkahwinan.
Sebelum ini, Pitt pernah mendirikan rumah tangga dengan Jennifer Aniston pada 2000 sebelum berpisah pada 2005 sebelum berkahwin dengan Jolie pada 2014, namun berakhir dengan perceraian. – HIBGLAM
