PENYANYI dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob bengang dengan segelintir netizen yang bercakap buruk tentang perkahwinan pasangan sensasi iaitu Bella Astillah dan Syed Saddiq.
Menurut Fazley atau nama lengkapnya Ahmad Fadzli Yaakob, 48, masih ramai netizen kurang cakna dalam akaun Threads yang berani mempersoalkan kenapa Saddiq memilih janda anak dua sebagai isteri.
“Ramai jugak orang yang ‘bodoh piang’ zaman-zaman Threads ni? Bila BASS dah nikah, ramai pula yang persoalkan kenapa pilih janda anak dua?
“Yang anak dara belum tentu boleh membahagiakan selamanya, dan yang janda pulak mana tahu boleh bantu bawa ke pintu syurga,” tulisnya dalam Threads.
Tambah pelantun lagu Asmara Ini itu lagi, tidak hina jika seseorang lelaki teruna memperisterikan seorang janda
“Tak jatuh hina pun kahwin janda, dan bukan dapat anugerah pun kahwin anak dara.
“Doakan kebahagian orang dapat pahala tau daripada buat dosa kering persoalkan takdir dan jodoh,” tulisnya.
Semalam, Bella Astillah Dan Syed Saddiq selamat diijabkabulkan dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Menara Merdeka 118.
Pasangan sama cantik sama padan itu akan melangsungkan tiga majlis resepsi termasuk di Kuala Lumpur, Muar dan Kota Kinabalu sepanjang bulan Oktober ini. – HIBGLAM.

