MENJADI antara peserta Gegar Vaganza musim ke-13 (GV13), penyanyi Shahir berjaya menurunkan berat badan sebanyak 12 kilogram (kg) dalam tempoh tiga minggu sebagai persiapan untuk bertanding.
Shahir atau nama lengkapnya Ahmad Shahir Zawawi, 38, menjelaskan GV13 membuatkan dirinya lebih bersemangat menurunkan berat badan untuk tampil lebih berkeyakinan semasa persembahan.
“Persiapan saya menjelang nak masuk GV inii memang nak kuruskan badan. Sebelum ini saya sangat selesa dengan keadaan diri saya sebab tak ada buat persembahan.
“Saya selesa pakai baju jubah sampai tak sedar yang badan ini dah jadi besar. Bila berat cecah 100kg, mulalah rasa mengah.
“Jadi bagus juga ada GV ini membuatkan saya ‘push’ diri untuk kuruskan badan semula selain untuk jaga kesihatan juga,” katanya kepada HibGlam.
Berkongsi lanjut, pelantun lagu Kebahagiaan Dalam Perpisahan itu mengamalkan kaedah diet yang agak ketat serta rutin senaman bagi memastikan penurunan berat badan yang pantas demi menghiburkan peminat.
“Saya diet agak ‘hardcore’ juga, saya tak makan seminggu kemudian saya joging.
“Ada juga saya makan sehari selepas itu, saya sambung tiga hari tak makan.
Kalau siapa yang pernah melihat saya dulu, saya macam yo-yo. Kalau kata saja-saja nak kurus, taklah tapi bila ada macam tuntutan kerja ini, saya ‘push’ diri,” ujarnya.
Selain Shahir, peserta lain yang turut menyertai program popular tersebut ialah Vince, Zahid, Mawi, Mila Jirin dan Stacy.
Sementara itu penyanyi lain yang turut terlibat ialah Faizul dan Firman.
Bakal bermula pada 9 November depan, GV13 menggandingkan pelawak dan pengacara Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Al Hadad sebagai hos sementara Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang serta Datuk Shafinaz Selamat bertindak sebagai juri. – HIBGLAM.

