Adegan panas Game of Thrones ‘selamat’

TERBUKA melakukan adegan intim, pelakon Emilia Clarke memuji pasukan produksi siri televisyen Game of Thrones yang memberi perlindungan kepada pelakon berbanding syarikat lain.

Menerusi wawancara bersama Variety, aktres berusia 39 tahun itu mengakui pernah berdepan situasi kurang menyenangkan ketika terlibat dalam beberapa buah projek lain sebelum ini.

Walaupun tidak mendedahkan judul filem berkenaan, Emilia berkata terdapat beberapa situasi yang membuatkan dirinya merasakan sesuatu tidak dilakukan dengan cara sepatutnya.

“Ada beberapa keadaan ketika saya fikir, ini tidak betul. Bukan kerana seseorang menyalahgunakan kuasa, sebaliknya lebih kepada kurangnya rasa peduli.

“Hakikatnya adegan intim atau perlu menunjukkan tubuh merupakan perkara yang perlu diberi perhatian terutama soal emosi pelakon berkaitan,” ujarnya.

Emilia yang terkenal menerusi watak Daenerys Targaryen turut mengakui adegan tanpa pakaian bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui pelakon.

Namun, produksi dan kru Game of Thrones mampu mewujudkan suasana kerja yang selesa serta menyokong pelakon sepanjang penggambaran terutama babak panas. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok