PENYANYI yang juga pengurus kepada Anggrek, Adira Suhaim berterima kasih kepada barisan juri Talk To My Manager 2 (TTMM2) kerana menggunakan kuasa imuniti menyelamatkannya daripada tersingkir pada konsert minggu ketujuh malam tadi.
Menurut Adira, 35, dia enggan mensia-siakan peluang kedua yang diberikan kepadanya dan Anggrek sebaliknya akan berusaha memberi persembahan lebih baik pada peringkat suku akhir minggu hadapan.
Sebenarnya saya dan Anggrek sudah biasa berada di kedudukan tiga terbawah. Berada di tempat pertama pun baru sekali, selebihnya di mana? Kami selalu berada tiga tercorot.
“Namun saya tetap rasa bersyukur sebab masih lagi diberi peluang dan ruang untuk Anggrek terus beraksi di pentas TTMM.
“Insya-Allah kami akan guna peluang kedua ini untuk memperbaiki serta menambah baik lagi persembahan Anggrek pada minggu hadapan,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.
Dalam pada itu, dia juga enggan mempersoalkan penyingkirannya dengan Anggrek semalam sebaliknya berasakan mungkin mereka berada di TTMM2 hanya setakat minggu ketujuh sahaja.
“Saya tak boleh juga mempertikaikan penyingkiran kami tetapi percaya Anggrek sudah buat yang terbaik semalam.
“Kami dah berusaha beri yang terbaik, menjalani latihan secukupnya sepanjang minggu.
Hampir tersingkir ini bukan sebab Anggrek buat tak bagus tapi saya percaya semua peserta lain lagi hebat sebenarnya,” ujarnya.
Mengulas mengenai reaksi Anggrek yang menangis ketika diumumkan tersingkir, dia berkata, perkara tersebut adalah emosi normal terutama buat kanak-kanak yang baru berusia sembilan tahun.
Anggrek memang sedih dan beremosi tetapi biasalah, budak-budak namun saya percaya dia juga mungkin nak buat lagi persembahan di TTMM.
“Sebenarnya sebelum masuk TTMM2 pun saya sudah beritahu Anggrek mengenai penyingkiran, menang dan kalah, biasalah adat pertandingan,” katanya lagi.
Ditanya mengenai Anggrek diselamatkan juri menerusi kuasa imuniti, Adira berkata, perkara tersebut adalah di luar bidang kuasanya namun berterima kasih kerana memberi anak sulungnya terus beraksi di pentas TTMM2.
“Mengenai Golden Card atau imuniti yang diterima Anggrek, sebenarnya hanya juri yang boleh komen sebab saya tiada jawapan tetapi sangat menghargainya.
Saya percaya, mungkin ada sesuatu yang dimiliki Anggrek sehingga juri menggunakan imuniti tersebut.
“Kami akan beri sedaya upaya cuma tak mahu berjanji apa-apa selain terus buat yang terbaik selepas ini,” jelasnya.
Semalam, Adira dan Anggrek diumumkan tersingkir namun diselamatkan barisan juri tetap iaitu Datuk AC Mizal dan Che Puan Sarimah menerusi kuasa imuniti.
Pasangan pengurus Datuk A. Aida dengan artisnya, Azeva juga merupakan peserta kedua yang tersingkir pada konsert semalam.
Mereka juga diberikan peluang kedua menerusi kuasa imuniti oleh pihak penganjur iaitu Eskayvie sekali gus meraih peluang untuk beraksi di pentas suku akhir minggu hadapan. – HIBGLAM
