‘Tidak melibatkan mana-mana pihak, Konspirasi ditamatkan tayangan atas permintaan penerbit’

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengesahkan penamatan tayangan filem Konspirasi di pawagam seluruh negara dibuat atas permintaan penerbit sendiri, bukan arahan mana-mana pihak.

Menerusi kenyataan media, Finas menerima makluman berhubung perkara itu daripada Persatuan Pempamer Filem Malaysia (MAFE) serta Media Prima Berhad selaku pengedar filem terbabit.

Katanya, berdasarkan emel yang dikongsikan kepada Finas, penerbit filem tersebut, Elepfilm Entertainment Sdn. Bhd. meminta supaya tayangan Konspirasi dihentikan bermula 28 Mei lalu.

Semakan Finas bersama pengedar dan pempamer filem mendapati penamatan tayangan tersebut adalah atas permintaan penerbit sendiri dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada mana-mana pihak,” tulis kenyataan tersebut.

Difahamkan kenyataan itu sebagai maklum balas terhadap dakwaan menyatakan filem tersebut dihentikan walaupun masih dalam tempoh Wajib Tayang berikutan arahan pihak tertentu.

Menerusi hebahan sama, Finas turut menjelaskan Konspirasi sudah memperoleh kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) sebelum diberikan kelulusan di bawah Skim Wajib Tayang pada 14 Mei lalu.

Ditayangkan sejak 21 Mei lalu, naskhah arahan Ghaz Abu Bakar itu boleh ditonton di 120 pawagam seluruh negara.

Pada masa sama, Finas memaklumkan pihaknya masih belum memperoleh penjelasan lanjut daripada penerbit berhubung punca keputusan menghentikan tayangan filem itu.

Malah, katanya usaha berterusan bagi menghubungi wakil syarikat produksi masih dilakukan untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Sehingga kini penerbit masih belum dapat dihubungi, beberapa usaha telah dilakukan,” ujarnya.

Konspirasi yang juga terbitan Elepfilm Entertainment bersama Asia Tropical Films dibintangi Datuk Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Amir Nafis, Che Puan Sarimah Ibrahim, Esma Daniel dan Roy Azman.

Sebelum ini Sarimah menerusi platform Threads meluahkan rasa terkejut tayangan filem itu ditamatkan secara tiba-tiba.

Luahannya meraih reaksi netizen yang turut kecewa dan membandingkan tempoh tayangan filem tempatan dengan filem luar negara yang didakwa lebih lama bertahan di pawagam.

Konspirasi mengangkat kisah anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdepan misi berisiko tinggi dalam membanteras jaringan rasuah dan kebocoran maklumat sulit. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok