DEMI artis kesayangan, penyanyi Iman Troye sanggup membelanjakan lebih RM8,000 bagi menyaksikan konsert penghibur antarabangsa, The Weeknd pada 4 November depan.
Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Sahabudin, 23, menzahirkan rasa teruja apabila dapat memiliki tiket persembahan mega penerima Anugerah Grammy yang menjadi rebutan ramai itu.
Alhamdulillah dapat ‘lock ticket’ walaupun dalam keadaan anxiety,” tulisnya ringkas bersama tangkap layar e-tiket dibeli secara online.
Paling menarik perhatian netizen tentu sahaja paparan harga tiket yang dibeli penyanyi terbabit berjumlah RM8244.66.
Bagaimanapun, Iman membalas komen netizen dengan menjelaskan harga ditunjukkan adalah untuk enam orang, bukan 1 tempat duduk seperti disangka ramai.
Ini tiket untuk enam orang kak, bukan seorang-seorang,” katanya.
Begitupun, ada juga pemilik akaun Threads yang menganggapnya cuba menunjuk-nunjuk mampu membeli tiket mahal tetapi komen tersebut dibidas pengguna lain.
“Tak faham la dengan komen ‘ala nak tunjuk jumlah tu’, cuba fikiran positif sikit. Kita pun tak tahu sekeras apa dia kerja untuk dapatkan sesuatu benda, cuba jadi orang yang boleh sokong kegembiraan orang lain,” katanya.
Berdasarkan semakan, harga tiket konsert The Weeknd di Kuala Lumpur (After Hours Til Dawn Tour) adalah antara RM388 hingga RM2,888, bergantung pada zon tempat duduk dan pakej.
Berikutan permintaan tinggi, penganjur menambah satu hari lagi untuk persembahan di Malaysia yang berlangsung di TM Stadium Nasional (dahulunya Stadium Nasional Bukit Jalil) iaitu pada 5 November 2026. – HIBGLAM
