BERDEPAN detik pahit pada awal kemunculan dalam industri seni, pelakon Zara Zya mengakui menjadi sasaran individu tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan ke atas dirinya.
Zara atau nama penuhnya Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 40, mendedahkan hampir menjadi mangsa gangguan seksual ketika individu terbabit kononnya mahu berbincang tentang tawaran kerja.
“Mula-mula kata nak bincang fasal kerja, skrip pun sudah ada. Bila ajak pergi karaoke, saya pergi sebab terlalu percayakan orang.
Tapi dia suruh kawan saya keluar dan minta saya buka baju. Saya terus cari alasan untuk keluar dari situ dan tak kembali semula.
“Selepas itu, dia cuba cari saya tetapi saya terus sekat nombor dia, “dedahnya dalam satu temu bual bersama Nona TV3.
Lebih mengejutkan, Zara turut berkongsi kisah lain apabila diperdaya menghadiri sebuah pertemuan tetapi rupa-rupanya diatur bagi memuaskan nafsu golongan kenamaan (VIP).
Saya ingatkan sekadar makan-makan biasa, rupanya memang ada lelaki VIP yang menunggu untuk masuk ke bilik.
“Saya tak mahu tetapi mereka juga tak mahu hantar saya keluar. Lama juga saya cuba lepaskan diri, situasi itu memang menakutkan,” ujarnya.
Malah, Zara turut mendakwa pernah diganggu secara fizikal beberapa individu dalam industri tetapi enggan memperbesarkan isu berkenaan.
“Ada juga yang tawar diri membela tapi saya tak mahu terlibat sampai ke tahap itu.
Walaupun jatuh bangun dalam industri, saya tetap pilih cara yang baik.
“Ada artis yang cuba menggatal dan meraba tapi bila jumpa sekarang, mereka buat-buat tak kenal atau terus mengelak,” kongsinya. – HIBGLAM
