Juri tak boleh cakap ‘saya suka awak’, itu ‘bias’ – Safura

PENYANYI Safura mempersoalkan ketelusan penjurian yang mendakwa wujud unsur favouritisme atau pilih kasih apabila ada dalam kalangan juri yang secara terbuka menyatakan minat terhadap seseorang peserta dalam pertandingan Talk To My Manager musim kedua (TTMM2).

Safura, 53, turut terkilan apabila terdapat juri yang seolah-olah menunjukkan minat terhadap peserta tertentu secara terbuka, sekali gus dikhuatiri boleh menjejaskan keadilan pemberian markah.

“Bagi saya, sebagai juri profesional anda tak boleh cakap ‘Saya suka awak’. Pada saya, itu ‘bias’.

“Kalau benar anda profesional, tak perlu kata anda suka mana-mana peserta.

“Sebab suka, anda nak bagi markah tinggi? Anda sepatutnya tengok secara keseluruhan,” katanya kepada HibGlam selepas konsert minggu keempat Talk To My Manager musim kedua (TTMM2).

Pada masa sama, pelantun lagu Cinta Bersulam Dusta itu turut mendakwa juri tetap Datuk AC Mizal tidak menyukai persembahan anaknya, Kim Khairii sehingga bertindak menggunakan kelebihan ‘mute the mic’ pada malam terbabit.

Saya nampak reaksi Datuk AC Mizal. Mungkin dia tak suka cara anak saya bawakan lagu itu. Pada saya, nyanyian Kim Khairii tiada silapnya, mungkin lagu itu bukan lagu ‘sing a-long’.

“Kalau lagu ‘sing a-long’, letaklah siapa penyanyinya pun, orang tetap akan menyanyi beramai-ramai.

“Bila ramai ‘sing a-long’, ramai ingat persembahan itu terbaik,” ujarnya lagi.

Disoal sekiranya ‘mic the mute’ memberikan kesan kepada pemarkahan, Safura menegaskan perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku memandangkan kelebihan terbabit adalah mekanisme yang disediakan pihak produksi.

“Sepatutnya tidak mempengaruhi pemarkahan. Itu adalah pilihan yang diberikan kepada pengurus.

Kalau mempengaruhi markah kami, sememangnya tidak adil. Kenapa nak buat kelebihan itu jika mempengaruhi markah?

“Sebagai juri, anda kena terima keputusan ini dengan hati yang terbuka. Ada sebab kenapa kita pilih untuk tak mahu mendengar komen pada malam itu,” ujarnya lagi.

Sebagai pengurus, Safura mengakui sangat ralat dengan kedudukan Kim sedangkan anaknya itu memberikan komitmen dan vokal yang terbaik tanpa sebarang kesalahan teknikal.

“Saya tak rasa apa yang saya cakapkan ini salah. Saya bercakap di atas kapasiti apa yang saya rasa, kalau juri rasa tak bagus, tetap tak bagus di mata dia.

“Pada saya, persembahan Kim Khairii sangat bagus. Kalau sumbang, layaklah dia berada di tiga terendah.

“Saya rasa, ada yang menyanyi lebih teruk walaupun persembahan mereka nampak luar biasa,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Safura menggunakan ‘mute the mic’ kepada AC Mizal di mana juri tidak berhak untuk memberikan komen terhadap peserta.

Safura dan Kim menduduki tempat ketujuh pada saingan minggu keempat TTMM2 selepas memperoleh markah keseluruhan sebanyak 71.33 peratus. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok