1
PERJUANGAN penyanyi Althea dan pengurus juga ibunya, Nana Mahazan terhenti apabila diumumkan sebagai peserta pertama Talk To My Manager musim kedua tersingkir pada konsert minggu ketiga yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA di sini, hari ini.
Penyingkiran tersebut berlaku susulan Althea yang mendendangkan lagu Halaman Cinta nyanyian asal Misha Omar meraih markah terendah iaitu 58.6 peratus daripada barisan juri.
Dua lagi peserta yang berada di kedudukan terendah minggu ketiga TTMM2 ialah Fariedz Fazley (Datuk Fazley Yaakob) dan Anggrek (Adira Suhaimi).
Minggu ini, barisan peserta mendendangkan lagu Bertemakan Hati Ingin Berbicara, Hati Pun Ingin Bertanya iaitu karya suntingan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan antara yang meraih pujian ialah Kim Khairi (Safura) dan Viviana (Ani Mayuni)
Viviana berjaya meraih markah tertinggi iaitu 84.33 peratus sementara Kim pula 81.67 peratus.
Sementara, Kim dan pengurusnya, Safura menerima Anugerah Inspirasi Kasih Eskayvie minggu ketiga sekali gus melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 bersama hamper.
Anugerah Manager Paling Perform minggu ketiga pula menjadi milik Datuk A. Aida hasil undian orang ramai menerusi laman web rasmi.
Minggu depan, kesemua peserta bakal mendendangkan karya bertemakan Dan Lagu-Lagu Di Radio.
TTMM2 disertai Adira bersama anak perempuannya Anggrek, Ani Maiyuni & Viviana, Datuk A. Aida & Azeva, Fazley & Fariedz Fazley, Datuk Seri Vida & Cik B, Jamilulhayat & Hussain, Linda Jasmine & Ratu, Pak Azad & Amarra serta Safura & Kim.
TTMM2 dihoskan Datuk Aznil Nawawi sementara barisan juri pula terdiri daripada Che Puan Sarimah dan Datuk AC Mizal.
Kerusi juri jemputan minggu ketiga TTMM2 pula diisi maestro tersohor, Datuk Ramli MS. – HIBGLAM
