Jenazah Allahyarham Jalil Hamid selamat dikebumikan

JENAZAH Allahyarham pelakon Jalil Hamid selamat dikebumikan kira-kira pukul 6.30 petang di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini hari ini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Jalil, 69, disempurnakan proses kafan serta solat jenazah di Masjid Al-Munawwarah sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk pengebumian.

Lebih 300 ahli keluarga, sahabat terdekat serta rakan selebriti hadir memberi penghormatan terakhir dalam suasana penuh hiba dan sayu.

Antara figura industri seni kelihatan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, selain Datuk Hans Isaac, Sabri Yunus, M. Nasir, Nabil, Tam Spider serta Abon.

Terdahulu, Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir di kediamannya sekitar pukul 12.30 tengah hari, seperti dimaklumkan anaknya, Afiqah Jalil menerusi Instagram.

Sepanjang perjalanan seni, Allahyarham dikenali sebagai figura versatil merangkumi lakonan, nyanyian dan komedi.

Antara pencapaian membanggakan termasuk trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-13 menerusi filem Baginda, selain kemenangan kategori sama di Anugerah Skrin 2016 bagi drama Calon Syurga serta Pelakon Lelaki Terbaik Filem pada Anugerah Telenovela 2018 menerusi Bisik Pada Langit. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok