‘Mama inspirasi terbesar saya, tiada siapa mampu jadi pengganti’

MENANGGUNG rindu, anak kepada pelakon Allahyarham Lydia Ibtisam, Nur Sarah Alisya, menzahirkan penghargaan buat arwah ibunya atas segala pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan sepanjang hayatnya.

Alisya, 14, berkata, wanita dihormatinya itu merupakan individu yang membentuk dirinya kini menjadi insan serba berani serta kuat semangat.

“Mama, saya sayang mama lebih daripada apa yang mampu digambarkan dengan kata-kata. Terima kasih atas setiap pengorbanan, setiap pelukan, setiap nasihat dan setiap detik Mama mencurahkan kasih sayang kepada saya.

“Mama adalah inspirasi terbesar dalam hidup saya dan saya tidak rasa ada sesiapa yang mampu menggantikan tempat mama di hati saya.

“Terima kasih kerana mengajar saya untuk sentiasa berbuat baik, kekal kuat dan tidak pernah berputus asa. Siapa diri saya hari ini adalah kerana mama,” katanya dalam hantaran di TikTok.

Menerusi perkongsian sama, anak sulung daripada dua bersaudara itu mengakui tidak pernah menyangka perlu mengucapkan selamat tinggal kepada insan tersayang pada usia yang begitu muda.

Namun, dia berjanji akan terus tabah untuk meneruskan kehidupan, sekali gus membuatkan ibunya bangga.

“Saya tidak pernah membayangkan perlu mengucapkan selamat tinggal seawal ini. Hati saya sangat pilu, tetapi saya berjanji akan membawa segala ajaran mama ke mana sahaja saya pergi.

“Saya harap suatu hari nanti dapat membuat mama bangga seperti mana mama sentiasa membuatkan saya bangga menjadi anak mama. Saya terlalu merindui mama dan akan menyayangi mama selama-lamanya,” katanya.

Allahyarham, Lydia menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di ibu negara kelmarin akibat komplikasi penyakit autoimun dan jangkitan kuman yang menjejaskan fungsi organ dalaman.

Selain Alisya, pelakon drama bersiri Dunia Illyana itu turut mempunyai seorang anak lelaki, Muhd Adan, 10, hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Ezam Merican. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok