‘Kepada wanita mahu dekati Haziq, ingatlah saya cantik ’

TIDAK berselindung , pelakon Eyra Hazali mendedahkan suaminya yang juga penjaga gol kebangsaan, Haziq Nadzli sering dibanjiri mesej peribadi (DM) daripada deretan wanita dalam media sosial namun memilih untuk enggan melayan perkara tersebut.

Ujar Eyra atau nama sebenarnya Hazirah Qasdina Hazali, 27, situasi itu bukan sesuatu mengejutkan, malah dianggap lumrah apabila suami memiliki kerjaya dan perhatian ramai.

“Orang Sarawak memang cantik-cantik! Bukan setakat cantik, siap mesej suami saya lagi. Kadang-kadang bila Haziq hantar kami ke lapangan terbang, ada yang DM ajak jumpa di Kuching.

“Memang ramai, tetapi Alhamdulillah Haziq berkongsi kata laluan dengan saya. Jadi setiap notifikasi masuk, saya pun boleh nampak,” katanya.

Menurut pelakon drama Puteri Yang Ditukar itu, sikap terbuka suami memberi ketenangan dalam rumah tangga selain membuktikan kejujuran pasangan.

“Haziq memang tidak melayan. Setakat saya kenal, dia bukan jenis begitu. Apa-apa pun dia akan rujuk saya dahulu.

“Malah, tangannya pun ‘ringan’ untuk menekan butang sekat. Kalau tengok senarai ‘block’, memang ramai wanita,” kongsinya.

Tambah Eyra, dia tidak mahu memperbesarkan perkara kecil selagi tidak melampaui batas dan tidak menggugat keharmonian rumah tangga.

“Bagi saya, selagi tidak melampaui batas, insya-Allah tiada apa-apa. Suami pun tidak melayan, buat apa kita mahu layan.

“Walaupun kadang-kadang tangan ini gatal juga mahu membalas, saya tahan. Perasaan tidak selamat itu tiada. Saya cantik, kan?” selorohnya.

Dalam masa sama, ibu tiga anak itu berpendapat perhatian wanita terhadap lelaki berstatus suami berlaku kerana melihat tanggungjawab serta layanan diberikan kepada keluarga.

“Kadang-kadang perempuan memang begitu. Bila tengok lelaki berjaya, mereka lebih tertarik.

“Tambah pula bila lelaki itu sudah berkahwin. Cara dia melayan isteri dan anak-anak buat mereka lagi tertarik.

“Tapi insya-Allah, doakan kami. Kepada wanita yang mahu cuba dekati Haziq, ingat saya tahu. Saya cantik, anak saya pun comel,” tuturnya.

Perkongsian tersebut mencuri perhatian netizen, rata-rata memuji sikap terbuka pasangan itu selain mendoakan kebahagiaan rumah tangga mereka kekal utuh.

Untuk rekod, Eyra dan Haziq mendirikan rumah tangga pada 2019 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Hayder Qhalish, 5, Muhammad Endra Haqimie, 4, dan Muhammad Eskandar, 1. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok