‘Janda? Padam gambar saya sementara tengah baik’

DIFITNAH berstatus janda, penyanyi Wany Hasrita meminta pemilik sebuah akaun Threads agar memadamkan gambarnya yang disalah guna sehingga menimbulkan salah faham.

Wany atau nama lengkapnya Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 34, mengajak pengguna lain untuk menghapuskan hantaran tersebut sebelum tindakan lanjut diambil.

Jom padam gambar saya sementara tengah baik,” katanya dalam ruangan komen hantaran di bawah nama wanita yang dipercayai akaun palsu.

Menerusi kapsyen disertakan bersama dua foto ibu kepada seorang anak itu, pengendali akaun berkenaan secara terbuka menyatakan dirinya seorang janda yang sedia mengenali sesiapa sahaja.

Janda, tapi masih ada ruang. Kalau serius, jom kenal baik-baik,” tulis perkongsian tersebut.

Menerusi semakan, akaun berkenaan menyamar sebagai penyanyi lagu Menahan Rindu dengan menjadikan gambarnya sebagai profil.

Malah dalam setiap hantaran yang menjurus kepada status mahu mencari pasangan juga menggunakan wajah Wany sebagai ‘modal’ memancing lelaki.

Perbuatan jahat pihak itu meraih perhatian peminat penyanyi terbabit yang rata-rata meminta artis kesayangan mereka mengambil tindakan undang-undang.

“Tolong saman, suka hati guna gambar orang, mesti ada orang lain kena juga,” kata netizen.

Wany mendirikan rumah tangga dengan juruterbang, Mohd Al-Adib Fahmi Harun pada 22 Julai 2022 dan perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Aishah Al Iman yang kini berusia dua tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok