TERIMA kasih ibu lahirkan dan jaga Hawra. Allah sahaja dapat balas.”
Demikian titipan penghargaan pelakon, Kamal Adli buat bekas isterinya, Uqasha Senrose atas segala pengorbanan dan kasih sayang terhadap anak tunggal mereka, Hawra Uqaira.
Ucapan tersebut diselitkan bersama dedikasi istimewa untuk puteri kesayangannya itu yang menyambut ulang tahun kedua, hari ini.
Kamal atau nama lengkapnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 40, memuat naik ucapan itu dalam instagram bersama kompilasi video Hawra sejak dilahirkan sehingga kini.
Menerusi hantaran sama, pelakon drama Perempuan Tanpa Dosa itu turut meminta maaf kerana tidak dapat berada di sisi puterinya pada hari istimewa itu.
Tidak ketinggalan menitipkan doa, Kamal turut menzahirkan perasaan sayang serta rindu terhadap permata hatinya.
“Selamat ulang tahun kedua sayang. Maaf ayah tak ada dekat sini masa hari jadi Hawra. Cari rezeki jauh sikit Allah bagi.
Ayah love you so much. Miss you soo much. Maaf tahun ini lain sikit dari tahun lepas tapi ayah doa Hawra jadi anak solehah, bijak dan sihat,” katanya.
Perkongsian aktor terbabit turut meraih perhatian pengikutnya yang rata-rata mengakui sebak membaca perkongsian tersebut.
“Sebak sangat tengok video dan kapsyen awak. Semoga Hawra sihat selalu serta dapat berkumpul dengan ayah dan ibu,” ujar netizen.
Hawra Uqaira yang dilahirkan pada 27 April 2024 di sebuah pusat perubatan di ibu negara merupakan satu-satunya zuriat Kamal hasil perkahwinannya dengan Uqasha.
Pasangan itu bercerai talak satu pada 12 Januari lalu selepas lebih empat tahun mendirikan rumah tangga. – HIBGLAM
