‘Dulu menangis kena kecam, sekarang ‘block’ sahaja aura negatif’

TIDAK lagi terperangkap dalam emosi, pelakon Ozlynn Waty mengakui dirinya kini kian matang dan tidak lagi ambil pusing maki hamun, kecaman mahupun pandangan sinis masyarakat.

Ujar Ozlynn atau nama sebenarnya Rozlinawaty Ismail, 45, pengalaman lalu membuka matanya tidak boleh memuaskan hati semua orang, apatah lagi menutup mulut pihak yang gemar melemparkan fitnah.

“Dulu saya menangis, tetapi lama-kelamaan saya belajar sesuatu. Kita tak mampu puaskan semua orang dan tak boleh tutup mulut sesiapa yang mahu memfitnah.

Dalam laman sosial saya, saya pilih untuk sekat sahaja supaya tiada aura negatif. Kalau di laman orang lain, saya pilih untuk tidak baca. Saya serahkan semuanya kepada Allah.

“Saya juga sering berpesan kepada keluarga dan peminat supaya jangan berbalah. Doakan perkara baik-baik, insya-Allah kebaikan juga akan kembali kepada kita,” katanya menjawab pertanyaan netizen.

Tambah pelakon drama Gadis dan Angan-Angan itu, ketenangan kini menjadi keutamaannya dalam menjalani kehidupan seharian tanpa perlu terjebak dalam konflik tidak berfaedah.

“Sekarang saya lebih tenang. Saya tidak suka orang bergaduh kerana kita. Saya cuma mahu semua orang gembira.

Kita tak tahu siapa akan pergi dahulu, jadi jangan sampai menyesal kerana tidak sempat meminta maaf,” ujarnya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen menyokong pendirian isteri kepada pelawak Johan itu yang memilih untuk tidak melayan provokasi, malah menyifatkan tindakan tersebut sebagai langkah bijak demi menjaga kesihatan mental.

“Baguslah, kalau mahu layan cakap orang, memang boleh jadi gila, orang takkan faham selagi tidak hadapinya sendiri.

“Buat hal masing-masing, itu lagi berfaedah dari memikirkan cakap orang, yang baik ambil, yang buruk buang jauh-jauh,” antara komen netizen.

Pun begitu, terdapat juga segelintir pihak masih mempertikaikan pendekatan pelakon tersebut selain menyifatkan kecaman berpunca daripada selebriti itu sendiri dan bukannya netizen sengaja mencaci maki. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok