ISTERI kepada pelakon Ako Mustapha, Kartina Shuaib mendedahkan anak lelakinya, Mikael Iskandar disyaki trauma selepas dipercayai menjadi mangsa buli di sekolah.
Kartina memaklumkan bahawa Mikael yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) menunjukkan reaksi luar kawalan ketika menerima rawatan daripada doktor.
Masih di HKL, anak saya macam ada tanda-tanda trauma. Tadi masa doktor nak periksa perut Mika (Mikael), belum sentuh dia dah menangis dan meracau ketakutan.
“Mummy kena tenangkan dia, beritahu dia tidak mengapa, doktor hanya nak periksa saja. Doktor takkan buat apa-apa yang menyakiti awak,” katanya dalam hantaran Threads.
Dalam masa sama, Kartina tidak dapat menahan sebak melihat penderitaan yang ditanggung anaknya dan terdetik untuk menunjukkan kecederaan yang dialami anaknya.
“Sebagai seorang ibu, menangis saya tengok anak saya macam itu.
Nak saja saya muat naik di sini gambar-gambar dan video-video kesan bengkak tapak kaki serta tumbukan di perut anak saya.
“Saya ibu dia, geram sangat-sangat, marah yang amat hanya Allah tahu. Doakan anak saya kembali ceria,” ujarnya.
Hari ini, Ako atau nama sebenarnya, Muhaizad Ahmad Mustapha mendakwa anaknya yang baru berusia 10 tahun dibuli pelajar senior dan rakan sekelas dengan kesan tumbukan serta pijak pada bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman, mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan dakwaan kes buli membabitkan anak Ako di sebuah sekolah di ibu negara. – HIBGLAM
