PENYANYI Adira Suhaimi tiada halangan sekiranya bekas suami, Datuk Red mahu hadir ke program Talk To My Manager 2 (TTMM2) bagi memberi sokongan terhadap anak mereka, Anggrek yang bertanding dalam pertandingan tersebut.
Adira, 35, bertegas tidak akan sesekali membelakangkan Datuk Red sebagai bapa Anggrek.
Dia juga beranggapan, sokongan daripada bekas suami untuk anak sulung mereka sangat penting sepanjang tempoh pertandingan TTMM2.
“Alhamdulillah ayah dia pun setuju penyertaan Anggrek. Saya tidak akan membelakangkan ayah dia sebenarnya. Dia tahu dan sedar mengenai pertandingan ini serta beri sokongan juga.
Insya-Allah, kalau dia ada masa mungkin akan datang. Saya tiada masalah dan terbuka sebab macam mana pun, Anggrek tetap anak dia. ‘Saya tiada masalah dia datang, Anggrek anak dia’
“Dia tetap kena datanglah untuk sokong Anggrek, tiada sebarang halangan,” kata Adira kepada HibGlam selepas konsert minggu pertama TTMM2 malam tadi.
Ditanya sama ada akan melakukan sebarang gimik untuk menjemput bekas suami ke atas pentas, Adira menolak pendekatan tersebut.
Saya memang tak rancang untuk buat begitu sebab Anggrek masih kanak-kanak dan mungkin dia tak boleh nak kawal emosi.
“Saya memang akan buat Anggrek dilihat seperti kanak-kanak dan tak mahu beri tekanan pada emosinya, kecuali kalau saya rasa dia memang bersedia.
Tapi sebenarnya saya tak nak banyak drama dalam TTMM2 dan cuma nak tonjolkan bakat dimiliki Anggrek di atas pentas.
“Namun, terpulang kepada mana-mana peserta lain yang nak buat begitu tetapi untuk Anggrek, saya rasa kurang sesuai,” katanya lagi.
Sementara itu, berkongsi mengenai prosiding mahkamah pengesahan rujuk yang difailkan bekas suami pada Disember tahun lalu, dia memberitahu perkara tersebut masih belum berakhir.
“Sebenarnya kes pengesahan rujuk belum selesai tapi macam mana pun saya tetap kena hadap dan selesaikan segera juga benda itu sebab saya pun nak ada kehidupan sendiri.
Harap benda ini akan selesai dengan tenang, tidak ada drama dan pergaduhan. Saya percaya dia pun akan nak selesaikan dengan tenang.
“Tarikh perbicaraan seterusnya ialah pada 23 April ini, tolong doakan dan saya selesa dalam keadaan sekarang ini,” ujarnya lagi.
Dia bagaimanapun bersyukur kes pengesahan rujuk tidak menganggu emosi dan kehidupannya.
“Alhamdulillah saya ada ‘support system’ yang sangat baik termasuk keluarga dan kawan-kawan.
Saya tidak terganggu pun sebenarnya sebab sudah pernah hadap benda yang lebih berat sebelum ni.
“Alhamdulillah saya rasa benda ini hal kecil saja,” jelasnya.
Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 3 Disember 2015 sebelum bercerai pada 24 April 2024.
Mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 3. – HIBGLAM
