FESTIVAL muzik dunia, Coachella pada hujung minggu lalu mencuri perhatian ramai dengan kemunculan bintang pop, Justin Bieber yang didakwa meraih bayaran tertinggi iaitu sebanyak RM40 juta.
Selepas sekian lama tidak membuat persembahan besar, kemunculan penyanyi berusia 32 tahun itu menjadi antara topik paling hangat kerana dikatakan hanya beraksi sambil lewa seperti sedang berkaraoke.
Suami kepada Hailey Bieber itu membuat persembahan dengan konsep ringkas apabila membuka komputer riba sebelum menyanyikan lagu popularnya seperti Baby, Never Say Never dan Beauty and the Beat diiringi muzik latar daripada video YouTube.
Tindakan tersebut menyebabkan ramai penonton mengkritik persembahan itu sebagai tidak sepadan dengan bayaran tinggi yang diterima.
“Saya hampir menangis. Ini persembahan paling malas pernah saya saksikan,” tulis seorang pengguna di platform X.
Bagaimanapun, ada peminat yang mempertahankan penyanyi itu dengan menyifatkan konsep minimalis dibawakan sebagai unik, selain membangkitkan elemen nostalgia. – HIBGLAM
