MENCIPTA kelainan, Icon Entertainment bersama Datuk M. Nasir memilih untuk mengadakan sidang media Konsert Dato’ M.N47ir Cipta 4 di atas Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bergerak dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak.
Membawa lebih 100 orang petugas media dalam rombongan yang diberi nama Ekspres Rakyat Nasi Ganja Tok Nasir ke Ipoh, acara itu turut menampilkan penyanyi dan komposer dari Indonesia, Melly Goeslaw sebagai kejutan.
Menurut pengasas Icon Entertainment yang merupakan penganjur konsert, Iman Tang, dia sengaja memilih untuk mengadakan sidang media di atas kereta api untuk mencipta kelainan.
“Sebelum ini sudah ada tiga sidang media yang kita lakukan untuk konsert terdahulu. Pelbagai lokasi kita lakukan. Jadi saya terfikir apa lagi yang mahu dilakukan. Jadi demi kelainan kita pilih untuk buat sidang media di atas kereta api,” katanya.
Sementara itu, bagi M. Nasir pula, ini merupakan kali kedua dia mengadakan sidang media di atas kereta api selepas kali pertama lebih 40 tahun lalu.
“Kali pertama dulu ketika pelancaran lagu Ekspres Rakyat bersama kumpulan Kembara. Ketika itu kita turut bawa sekumpulan media,” kongsinya.
Ketika sidang media berlangsung, tiba-tiba Melly Goeslaw muncul dari gerabak sebelah sambil menyanyikan lagu Fantasia Bulan sekali gus menjadi kejutan buat M. Nasir dan media.
Kehadiran Melly adalah sebahagian daripada pengumuman bahawa dia akan menjadi penyanyi jemputan di konsert yang akan berlangsung pada 4 Julai 2026 nanti.
M. Nasir turut menghiburkan wakil media dengan tiga buah lagu iaitu Juwita Citra Terindah, Ekspres Rakyat dan Sentuhan Listrikmu.
Tiket Konsert Dato’ M.N47ir Cipta 4 akan mula dijual pada 24 April ini menerusi laman sesawang www.ticket2u.com.my. – HIBGLAM
