Tak sihat, Hafiz Suip tak sertai Konsert MeleTOP TVS

PENYANYI Hafiz Suip terpaksa menarik diri daripada membuat persembahan pada Konsert MeleTOP TVS Stadium Tertutup Bandaraya Miri, hari ini berkutan masalah kesihatan yang dialaminya sejak semalam.

Nabil Ahmad selaku hos memaklumkan Hafiz atau nama penuhnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip yang sepatutnya mendendangkan tiga lagu pada acara tersebut tidak dapat hadir.

“Dengan duka cita, kami daripada pihak MeleTOP dan TV Sarawak (TVS) ingin memaklumkan Hafiz tidak dapat bersama dengan kita hari ini.

“Maafkan kami kerana beliau mengalami masalah kesihatan. Semoga Hafiz segera sembuh,” katanya.

Difahamkan, Hafiz juga tidak menghadiri sesi latihan konsert tersebut hari ini berikutan masalah kesihatan tetapi tidak memperincikan punca sebenar sehingga kini.

Semalam, pelantun lagu Awan Nano itu menerusi satu hantaran media sosial mengesahkan dirinya ada batu karang dalam buah pinggang.

Perkongsian tersebut disertai video yang memaparkan Hafiz sedang menjalani prosedur perubatan termasuk menerima suntikan.

Mengangkat warisan kebudayaan Borneo sebagai tema, Konsert MeleTOP TVS menggabungkan kebudayaan tradisional tempatan dan juga budaya pop masa kini.

Konsert kerjasama Astro dan TV Sarawak (TVS) itu turut diserikan dengan persembahan artis hebat seperti Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Nadeera Zaini, Mimi Fly, Marsha Milan, Stacy, Floor 88 & Namie, DOLLA dan Sada Borneo.

Acara yang julung kali diadakan itu diacarakan gandingan pengacara MeleTOP seperti Nabil Ahmad, Sherry Alhadad, Hawa Rizwana dan juga pengacara TVS, Ghaz Zawawi, Cheryl Toh serta Fattah Bolh. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok