PARA peminat setia filem Ejen Ali The Movie 2 berpeluang menjadi individu terawal menonton naskhah tersebut dalam slot tayangan awal serentak di sembilan lokasi pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) terpilih seluruh negara pada 18 Mei ini.
Inisiatif istimewa itu hasil kerjasama WAU Animation, Primeworks Studios dan GSC yang terus komited meraikan karya animasi tempatan di layar perak.
Dengan hanya RM40, setiap pembelian tiket untuk tayangan awal tersebut akan menerima satu tiket filem, lencana butang eksklusif Ejen Ali The Movie 2 dan set kombo popcorn.
Lebih istimewa, peminat juga boleh memilih menonton Ejen Ali The Movie 2 secara premium di Aurum Theatre, The Exchange TRX, Kuala Lumpur yang menawarkan dua slot tayangan khas iaitu pada pukul 11 pagi dan 1.30 petang.
Tayangan tersebut juga akan dimeriahkan dengan penampilan maskot Ejen Ali dan barisan pemilik suara watak filem tersebut sekali gus memberi pengalaman hebat yang eksklusif serta sarat interaksi.
Antara lokasi tayangan awal serentak adalah di GSC Mid Valley Megamall, KL East Mall, MyTOWN, Setia City Mall dan Setia Alam.
Empat lokasi lagi di GSC IOI City Mall, Putrajaya, AEON Bandaraya Melaka, Aman Central, Alor Setar, Kedah dan East Coast Mall, Kuantan, Pahang.
Justeru, jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada pengalaman luar biasa menonton Ejen Ali The Movie 2.
Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket, sila layari laman web atau Aplikasi GSC. – HIBGLAM