‘Isteri, mantan isteriku, terima kasih jadi ibu luar biasa’ 

TERIMA kasih kerana menjadi ibu yang luar biasa.”

Demikian antara ucapan manis pelakon Norman Hakim untuk isterinya, Memey Suhaiza sempena hari ibu hari ini.

Bukan sahaja Memey, Norman turut menitipkan ucapan sama buat bekas isterinya, Abby Abadi dan menyifatkan kedua-duanya sebagai wanita terbaik dalam hidupnya.

“Selamat hari ibu buat dua wanita hebat yang telah melahirkan dan membesarkan enam permata hidup saya.

Kepada isteri dan mantan isteriku, ibu-ibu kepada anak-anakku, saya menghargai setiap pengorbanan, kasih sayang dan doa kalian yang tidak pernah putus untuk anak-anak kita,” katanya dalam satu hantaran Instagram.

Tambah Norman, meski dunia bergolak atau dilanda bencana, dia mahu memastikan janji yang dimeterai dengan dua wanita itu iaitu menjadi ibu bapa terbaik akan terlaksana.

Walau dilanda gempa bumi, taufan dan badai, ingat janji-janji kita iaitu akan sentiasa bersatu dalam satu misi menjadi ibu bapa terbaik untuk zuriat kita.

“Sekali lagi terima kasih kerana menjadi ibu yang luar biasa. Semoga kasih kalian terus menjadi cahaya yang membimbing anak-anak menuju masa depan yang penuh rahmat dan kebaikan, insya-Allah,” ujarnya.

Dalam perkongsian sama, Norman sempat memuji kehebatan konsert GenKRU hari ketiga yang dihadirinya semalam.

Paling penting konsert GenKRU dan Elite malam ketiga memang ‘next level’.

“Terima kasih Abby untuk tiket. Malam tadi saya rasa macam zaman Hero Remaja,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Norman dan Abby pernah mendirikan rumah tangga sebelum sah bercerai pada 2008. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Danish, Dania dan Danisha.

Abby kemudian bertemu jodoh dengan Muhammad Faizal Zakaria pada 2015, manakala Norman berkahwin dengan pelakon Memey Suhaiza pada September 2011 dan dikurniakan tiga cahaya mata. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok