BUKAN emak ayah tetapi keluarga besar yang tak boleh terima. Mereka tuduh emak bawa saya ke dalam kancah pelacuran.”
Demikian pendedahan pelakon dan penerbit, Erma Fatima tentang keputusan meninggalkan pengajian undang-undang demi menjadi pelakon sepenuh masa.
Cerita Erma atau nama lengkapnya Fatimah Rahmad Ali, 56, dalam sesi audio siar bersama Adlin Aman Ramli dan Datuk Khairul Anwar Salleh, keputusan tersebut mendapat kecaman daripada keluarga besarnya.
“Selepas filem Rozana Cinta 1987, saya dapat banyak sangat tawaran berlakon.
Waktu itu pula saya sedang belajar jurusan undang-undang. Emak pula mahu sama ada saya jadi peguam atau doktor.
“Saya susah nak bahagikan masa sebab berlakon akan habis lambat dan sebagainya. Jadi saya ambil keputusan untuk berhenti belajar,” katanya
Biarpun menerima pelbagai tohmahan, Erma membuktikan keputusannya tepat apabila berjaya berdiri kukuh sehingga kini dalam industri seni.
“Keputusan yang saya buat tinggalkan impak yang sangat besar dalam diri. Saya pula kalau nak sesuatu, saya nak juga.
Saya tahu dengan menjadi pelakon saya akan dapat duit banyak sebab lepas satu filem, satu filem. Kalau saya jadi peguam, berapa tahun lagi nak ada duit?
“Jadi, bila saya jadi pelakon, saya jaga adik-adik saya. Saya minta mak untuk tidak lagi keluarkan duit belanja kepada adik-adik sebab saya nak tanggung,” ujarnya.
Selain Erma, adik-beradiknya iaitu Umie Aida, 51 dan Betty Rahmad, 43, meneruskan kerjaya dalam bidang sama iaitu menjadi pelakon, penyanyi dan ahli perniagaan. – HIBGLAM