MAMPU hidup senang dengan titik peluh sendiri, pelakon dan penyanyi Diana Danielle menolak saranan netizen yang mencadangkannya mencari pasangan dalam kalangan lelaki berharta.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, berkata, jika mengejar kesenangan sudah tentu sejak dahulu lagi dia sudah berbuat sedemikian.
“Sekarang yang kaya aku ni. Lelaki pun ramai je yang bergantung dekat perempuan,” katanya membalas komen pengikut.
Terdahulu, seorang individu menerusi ruangan komen pada hantaran di TikTok meminta ibu tunggal anak dua itu memilih lelaki kaya demi kesenangan masa depan.
Begitupun, rata-rata netizen menyelar saranan yang disifatkan hanya merendahkan golongan wanita terutama ibu tunggal.
Bahkan ramai peminat meminta Diana jangan mengendahkan sebarang provokasi atau komen negatif seumpama itu.
“Tak perlu layan komen begini. Fokus sahaja untuk terus hidup, dah tahu mana baik dan buruk,” tulis seorang pengikutnya.
“Bukan semua orang nak harapkan kekayaan orang untuk menumpang, zaman sekarang ramai wanita yang bekerjaya,” ulas pengguna akaun lain.
Terdahulu, Diana dan aktor, Farid Kamil sah bercerai buat kali kedua di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 24 Mac lalu.
Pasangan terbabit bercerai talak satu buat kali pertama menerusi aplikasi Google Meet 2023 namun, kembali rujuk semula selepas 21 hari.
Mereka mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10. – HIBGLAM