SUDAH tinggal berasingan dengan suami sejak dua minggu lalu, penyanyi Zehra Zambri tidak melihat sebarang harapan dalam meneruskan perkahwinan yang dibina hampir empat tahun lalu.
Katanya, selepas berdepan pelbagai tuduhan daripada Nur Muhd. Iqwan Samsudin sehingga mengganggu emosinya, dia bersedia andai dilepaskan hari ini.
Sudah dua minggu saya tinggal di rumah keluarga iaitu sejak kenyataan yang dikeluarkannya dalam media sosial, manakala minggu lalu pula dia sudah bawa barang peribadinya keluar rumah.
“Kalau betul hasrat dia (lafazkan talak) hari ini, saya Alhamdulillah sahaja. Lagipun perkara ini sudah lama berlarutan,” katanya ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di sini, hari ini.
Penyanyi lagu Semalakama itu tiba di mahkamah dengan ditemani bapanya, Zambri Ahmad bagi sebutan kedua permohonan perceraiannya yang dibuat terhadap Nur Muhd. Iqwan.
Mahkamah sebelum ini menetapkan tarikh hari ini berlangsungnya proses pelantikan JawatanKuasa Pendamai (JKP) bagi kedua-dua pihak.
Pada masa sama, dia turut memaklumkan akan meneruskan saman fitnah atas tuduhan dilemparkan suaminya.
“Saya kesal dengan tindakan suami yang memilih untuk menjadikan isu rumah tangga ini sebagai bahan tatapan umum melalui pelbagai platform media sosial dan portal hiburan.
Tindakan tersebut bukan sahaja mengaibkan saya sebagai isterinya tetapi juga memberi kesan buruk terhadap reputasi serta kerjaya saya sebagai anak seni.
“Jangan jadikan hal perkahwinan kami sebagai bahan cercaan. Menang di mata netizen tidak ke mana. Sebagai isteri saya sahaja yang tahu sisi baik dan buruknya,” ujarnya.
Sebelum ini, Iqwan berkongsi lima tuntutan difailkan Zehra pada 7 Mac lalu iaitu tiada lagi persefahaman antara mereka, culas menjalankan tanggungjawab, sikap, pengabaian serta institusi perkahwinan sudah tidak dapat diselamatkan.
Zehra memfailkan cerai secara ‘fast track’ terhadap suami selepas mendakwa lebih tiga tahun berkorban mempertahankan rumah tangga sehingga memberi kesan terhadap mentalnya.
Pasangan terbabit diijabkabulkan pada 10 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan berusia dua tahun.
Sebelum itu, Zehra pernah berkahwin dengan Wan Muhammad Nurhariz Hariri Wan Mohd Effendi pada 14 Oktober 2017, namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama enam bulan sebelum bercerai pada April 2018.
Iqwan juga pernah mendirikan rumah tangga dan memiliki dua cahaya mata. – HIBGLAM