MERAYU jangan jadikan isu rumah tangganya sebagai bahan sensasi, penyanyi Zehra Zambri tidak sanggup anak membaca fitnah bapanya, Nur Muhd. lqwan Samsudin apabila besar nanti.
Kata Zehra, suaminya mengeluarkan pelbagai kenyataan berkaitan kemelut rumah tangga sehingga mencetuskan kebencian netizen terhadap dirinya.
“Saya ada anak kecil. Suatu hari nanti anak akan membaca kenyataan ini, fitnah dikeluarkan bapa dia sendiri kepada ibunya iaitu saya.
Jangan terus hentam saya hanya kerana suami mengeluarkan spekulasi. Anda tak tahu bagaimana kehidupan saya bersama dia.
“Cukuplah jadikan musibah ini sebagai mainan kalian. Saya mohon ada sedikit empati,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di sini, hari ini.
Zehra, 38, dan Muhd. Iqwan, 42, hadir ke mahkamah bagi prosiding lantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) terhadap permohonan cerai yang dibuat penyanyi terbabit.
Tambah peserta Gegar Vaganza (GV) ke-11 itu lagi, sebagai seorang yang masih memegang status isteri, dia enggan membalas atau bercakap buruk tentang suaminya.
“Dia yang keluarkan tuduhan yang telah mengibkan saya. Itu hal dia untuk paparkan imej baik kepada netizen. Menang di mata netizen tidak ke mana.
Tapi saya tetap dengan pendirian dengan menjaga aib dia selagi boleh. Hanya dalam dewan mahkamah tempat saya cerita dan pertahankan diri.
“Biarpun terpaksa berhadapan situasi sukar ini disebabkan tindakannya, saya tidak akan dedah apa-apa. Masih ada sisi baiknya,” ujarnya.
Zehra memfailkan permohonan cerai terhadap Iqwan pada 7 Mac lalu dan hari ini mahkamah menetapkan tarikh untuk pelantikan wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi kedua-dua pihak.
Penyanyi lagu Mari Bersama itu melantik bapanya, manakala Muhd. Iqwan tidak berbuat demikian atas alasan calon wakilnya mempunyai kecemasan.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Mei sebagai tarikh untuk petugas di sebuah stesen televisyen itu mengemukakan wakilnya.
Terdahulu, pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Zahiyah Iqleela berusia dua tahun.
Zehra memfailkan cerai secara ‘fast track’ pada Mac lalu selepas mendakwa selama lebih tiga tahun berkorban mempertahankan rumah tangga sehingga memberi kesan terhadap mentalnya. – HIBGLAM