KERTAS siasatan berhubung dakwaan keganasan rumah tangga membabitkan penyanyi Zehra Zambri dengan suaminya, Nur Mohd. Iqwan Samsudin dibuka semula polis.
Mohd. Iqwan, 42, berkata dia dan Zehra sudah dipanggil pihak berkuasa bagi memberikan keterangan susulan pendedahannya menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Selepas saya buat pendedahan dikasari isteri sepanjang perkahwinan kami, kes dibuka semula. Ada siasatan dan saya sendiri sudah dipanggil dua kali ke balai.
“Polis juga sudah datang ke lokasi (rumah) untuk mengambil gambar sebagai bukti.
“Saya dimaklumkan Zehra juga dipanggil untuk beri keterangan dan akan ada pendakwaan terhadapnya,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di sini selepas prosiding lantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Mohd. Iqwan berkata, dia dan Zehra, 38, hadir memberi keterangan pada 14 April lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPK) Kajang susulan laporan yang dibuatnya pada 25 Januari lalu.
Mohd. Iqwan sebelum ini mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga atas perbuatan isteri sendiri sebanyak empat kali sepanjang perkahwinan selain telah membuat laporan polis.
Bagaimanapun, akuinya kes tersebut ditutup apabila dia bersetuju untuk menyelesaikan tanpa melibatkan pihak berkuasa.
Pada sebutan pertama kes permohonan cerai di mahkamah sama, lelaki terbabit mendakwa menjadi mangsa isterinya sehingga meninggalkan parut kekal.
Akuinya, kejadian berlaku sebelum Zehra menyertai program Gegar Vaganza musim 11 (GV11) sehingga kali terakhir ketika separuh akhir rancangan tersebut berlangsung tahun lalu.
Hari ini, pegawai penyiaran itu berniat melafazkan talak namun menangguhkan hasratnya kerana isteri dalam keadaan tidak suci selain wanita terbabit enggan menggugurkan empat tuntutan daripada lima permohonan dikemukakan di mahkamah. – HIBGLAM